Home Buletin Semasa PREMIS VAPE TANPA LESEN DIARAH TUTUP, 115 UNIT CECAIR VAPE DISITA

PREMIS VAPE TANPA LESEN DIARAH TUTUP, 115 UNIT CECAIR VAPE DISITA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebuah premis vape yang beroperasi tanpa lesen perniagaan sah diarah tutup selepas dikesan menjual produk vape yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Vape di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam (MDKPI), Isnin lalu.

Operasi bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam itu dilaksanakan MDKPI dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen perniagaan, Undang-Undang Kecil Majlis serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi MDKPI, pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah selain menjual produk vape yang tidak berdaftar dengan KKM.

“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Antara tindakan yang dikenakan ialah pemeriksaan ke atas sebuah premis vape, pengeluaran empat kompaun, satu notis kesalahan kerana tidak memiliki lesen perniagaan oleh MDKPI serta satu tindakan bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun oleh KKM.

“Selain itu, sebanyak 115 unit cecair vape bernilai RM2,318 disita, manakala arahan penutupan premis turut dikeluarkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam operasi sama, pemeriksaan turut dijalankan terhadap tiga premis makanan bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen perniagaan serta tahap kebersihan premis.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga premis makanan diperiksa dengan tiga kompaun dikeluarkan, selain satu notis kesalahan berkaitan lesen perniagaan dan kebersihan premis,”jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, MDKPI akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Kerjasama semua pihak turut diharapkan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat, bersih, berlesen dan mematuhi peraturan demi kesejahteraan masyarakat,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here