Home Buletin Semasa 23.3 TAN AL-QURAN ROSAK DILUPUS

23.3 TAN AL-QURAN ROSAK DILUPUS

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan lebih 23.3 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran yang rosak serta tidak lagi boleh digunakan sepanjang tahun lalu bagi memastikan kesuciannya terus terpelihara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 11.5 tan bahan berkenaan telah dilupuskan secara berperingkat, manakala jumlah keseluruhan yang diterima setakat ini melebihi 14.1 tan.

“Proses pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau relau pembakaran khas yang menggunakan sumber api daripada gas di Pusat Pemuliaan al-Quran JAIP di Peramu, Pekan serta Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran.

“Menjadi tanggungjawab JAIP membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran yang rosak supaya tidak dibuang di tempat yang tidak sepatutnya, sekali gus memelihara kemuliaannya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, daerah Bentong merekodkan jumlah penghantaran tertinggi tahun ini iaitu sebanyak 3.3 tan, diikuti Temerloh (2.5 tan) dan Kuantan (2.2 tan), dengan antara 24 hingga 62 penghantaran direkodkan dari daerah terbabit.

“Kami menjangkakan JAIP mampu melupuskan antara 24 hingga 25 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran sepanjang tahun ini.

“Secara purata hampir dua tan bahan rosak diterima setiap bulan daripada masyarakat awam, tidak termasuk penghantaran melalui pejabat agama daerah,”katanya.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan bahan berkenaan perlu dilupuskan ialah kerosakan akibat banjir besar, kertas peperiksaan sekolah agama yang telah usang, selain kerosakan disebabkan anai-anai dan faktor usia.

Katanya, proses pembakaran mengambil masa antara satu hingga dua jam sebelum bahan yang dibakar disejukkan selama 24 jam.

“Abu yang terhasil kemudian dibancuh bersama air sehingga membentuk bongkah seberat kira-kira lima kilogram menggunakan acuan plastik sebelum dijemur antara tiga hingga enam hari bergantung kepada keadaan cuaca.

“Bongkah abu berkenaan kemudiannya dilupuskan di beberapa kawasan perairan negeri ini dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang dan nelayan tempatan,”katanya.

Dalam perkembangan sama, JAIP merancang membina pusat pemuliaan al-Quran di setiap daerah secara berperingkat bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pelupusan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran.

Orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran atau bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran yang rosak boleh menghantarnya ke Pusat Pemuliaan al-Quran JAIP di Peramu atau Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor secara percuma.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here