Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kejohanan Seri Semantan Cup dijangka menjadi pentas untuk menghangatkan semula sokongan peminat bola sepak Kelantan menjelang aksi Kelantan City FC di Liga A1 Semi Pro musim 2026/2027.
Wakil Penganjur Seri Semantan, Mohd Fazli berkata, kejohanan itu bermula pada 24 hingga 26 Julai ini membabitkan empat pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Dua perlawanan akan berlangsung pada hari tersebut, aksi pertama bermula pada jam 8 malam, diikuti perlawanan kedua pada jam 10 malam.
“Jualan tiket secara dalam talian sudah pun dibuka, manakala tiket fizikal akan mula dijual pada 24 Julai bermula jam 8 pagi di pekarangan stadium, berhampiran Kelantan Trade Centre (KTC).
“Peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh hadir ke kaunter yang disediakan pihak penganjur. Selain menyaksikan perlawanan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk pertandingan mencari harta karun,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, pihak penganjur turut menawarkan pas jualan pukal yang membolehkan penyokong menyaksikan semua perlawanan sepanjang kejohanan, selain menerima baju rasmi kejohanan pada harga yang ditetapkan.
Katanya, pembeli pas itu juga layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai kira-kira RM20,000, selain menerima pembukaan akaun emas secara percuma daripada Kedai Emas Seri Semantan.
Mengulas sambutan yang dijangka diterima, beliau optimis rakyat Kelantan akan terus memberikan sokongan memandangkan negeri itu terkenal dengan budaya dan minat yang mendalam terhadap bola sepak.
“Walaupun penganjuran ini adalah kali pertama dan tempoh promosi agak singkat kerana persiapan liga semakin hampir, kami yakin ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Kelantan melihat sendiri pasukan Kelantan City FC yang bakal beraksi dalam Liga A1 Semi Pro.
“Pasukan ini melalui proses transformasi dengan penglibatan ramai bekas pemain dan individu yang pernah mencipta kegemilangan bola sepak Kelantan.
“Penglibatan transformasi bola sepak walaupun bermula daripada Liga A1 teapi banyak membabitkan mereka yang pernah berada dihadapan di zaman kegemilangan pasukan Kelantan termasuk Tan Sri Annuar Musa, selain dibantu bekas pemain Kelantan seperti Nor Farhan, Badri Radzi, Zairul Fitree Ishak dan beberapa lagi nama yang berpengalaman,”katanya.
Menurutnya, pengalaman dimiliki bekas pemain itu diharap mampu menjadi asas kukuh dalam membangunkan semula pasukan bermula dari Liga A1 Semi Pro.
“Proses membina sebuah pasukan yang mantap memerlukan masa. Kegemilangan Kelantan suatu ketika dahulu juga tidak dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya mengambil masa beberapa musim.
“Justeru, kami berharap seluruh penyokong bola sepak Kelantan hadir memeriahkan Seri Semantan Cup dan terus memberikan sokongan kepada Kelantan City FC dalam menghadapi musim baharu nanti,” katanya.
IMedikel TV






