Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan melaksanakan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan memberi tanggungjawab lebih besar kepada 56 ketua balai di negeri ini iaitu menahan seorang penagih dadah setiap hari di kawasan masing-masing.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendekatan baharu itu dirangka susulan maklum balas masyarakat yang mendakwa kegiatan berkaitan dadah masih berlaku walaupun statistik tangkapan dan kes menunjukkan penurunan.
“Walaupun tangkapan dan jumlah kes menurun, saya masih menerima maklumat daripada masyarakat bahawa kegiatan dadah masih wujud.
“Justeru, kita merangka satu strategi baharu dan akan melihat keberkesanannya selepas tiga bulan pelaksanaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, tanggungjawab membanteras dadah tidak lagi hanya dipikul oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di peringkat IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), sebaliknya turut membabitkan ketua balai.
Katanya, setiap ketua balai perlu mengetahui secara menyeluruh situasi jenayah dan penyalahgunaan dadah di kawasan pentadbiran masing-masing.
“Tidak sepatutnya seorang ketua balai tidak mengetahui apa yang berlaku di kawasannya.
“Mereka perlu mengenal pasti lokasi panas, penagih dan individu yang terbabit dengan kegiatan dadah supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, pada masa sama, setiap IPD dan JSJN IPK turut diarahkan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta lokasi yang menjadi tumpuan sindiket pengedaran dadah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berfokus.
Beliau berkata, pendekatan terdahulu yang lebih menumpukan kepada sasaran statistik semata-mata tidak memberikan impak yang diharapkan.
“Sasaran sebelum ini iaitu menahan 85 penagih sehari didapati kurang berkesan.
“Dengan strategi baharu ini, saya yakin usaha membanteras dadah akan menjadi lebih berkesan dan memberi tekanan kepada pengedar serta pihak yang terbabit dalam kegiatan tersebut,” katanya.
IMedikel TV






