KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani menafikan dakwaan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi dan pelakon Azeva Natassha, sebaliknya menegaskan mereka hanya berkawan rapat.
Memetik laporan Harian Metro, Zaki, 20, berkata mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain menerusi media sosial sebelum hubungan menjadi lebih akrab selepas Azeva menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Kami sudah berkenalan sebelum dia sertai TTMM2 lagi. Sejak itu, kami semakin akrab, saling berkongsi pelbagai perkara dan kini berada di fasa kawan rapat,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai ciri wanita idaman, anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah itu mengakui Azeva memiliki beberapa kriteria yang disukainya seperti matang, rajin bekerja, bijak dan berfikiran positif.
Bagaimanapun, Zaki menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah membina kerjaya seni.
“Buat masa sekarang saya mahu fokus pada diri sendiri dan kerjaya dahulu. Komitmen saya dengan Azeva ketika ini melibatkan tuntutan kerja dan projek berskala besar. Insya-Allah, kami juga merancang mengeluarkan lagu duet,” katanya.
Sebelum ini, netizen membuat spekulasi bahawa Zaki dan Azeva sedang bercinta selepas mereka kerap muncul bersama dalam siaran langsung di TikTok.-HMetro Online-
IMedikel TV






