Oleh: Wartawan IMedikel TV
KEPALA BATAS: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehudin berkenan berangkat mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman kanak-kanak perempuan, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, yang terselamat dalam nahas tragis membabitkan sebuah Proton X50 dan lori tanah di Pinang Tunggal, Kedah pada 7 Jun lalu.
Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda, Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah.
Dalam kunjungan di kediaman keluarga Aulia di Taman Bandar Putra Bertam, baginda sekeluarga menyampaikan sumbangan keperluan asas selain membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai persediaan masa depan pendidikan kanak-kanak itu.
Ibu saudara Aulia, Siti Nur Atikah Ahmad Shukri berkata, keluarga amat menghargai keprihatinan yang dizahirkan baginda ketika Aulia masih menjalani proses pemulihan.
Menurutnya, keadaan kesihatan Aulia kini semakin baik walaupun sebelum ini peluang untuk terus hidup disifatkan amat tipis akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Kalau ikut keadaan dia ketika itu memang 50-50, tetapi apa yang berlaku ini lebih kurang kepada satu keajaiban. Kami sendiri pun ingat mungkin dia tak lama, tetapi bila kami tengok keadaan dia hari ini, bagi saya pemulihan dia cepat,” katanya.
Beliau berkata, Aulia sedar kira-kira dua minggu selepas kemalangan sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 2 Julai lalu.
Bagaimanapun katanya, Aulia masih belum mampu berjalan kerana kedua-dua belah kakinya patah selain mengalami kecederaan di kepala dan mata.
“Doktor kata kemungkinan mata dia boleh nampak tetapi samar-samar ataupun mungkin tidak boleh nampak terus kerana bola mata dia pecah. Kalau bahagian dalaman pula, doktor beritahu tidak ada masalah,” katanya.
Menurutnya, Aulia dijadual menjalani pemeriksaan susulan bagi kecederaan kepala dan mata pada 20 Julai ini, manakala pemeriksaan bersama pakar ortopedik pada 26 Julai.
Dalam pada itu, Siti Nur Atikah berkata, Aulia sudah mengetahui ibu bapanya meninggal dunia dalam nahas terbabit dan mampu menceritakan semula kejadian berkenaan.
“Dia tahu dan dia boleh bercerita. Bila kami beritahu ibu dan ayah Aulia sudah tiada, dia membalas kedua ibu bapanya sudah pergi ke syurga.
“Bagi saya dia budak yang sangat kuat. Dia pandai jaga emosi kami sekali. Dia tak meragam atau merengek. Kalau dia rindu, dia akan diam, pejam mata dan menangis sendiri,” katanya.
Kini, Siti Nur Atikah bersama suaminya, Ibrahim Ghazali mengambil tanggungjawab menjaga Aulia selepas anak lelaki mereka, Iskandar Affan, 7, turut terkorban dalam nahas itu.
Dalam kejadian pada 7 Jun lalu, Aulia menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat selepas Proton X50 yang dinaikinya bersama ibu bapa, nenek, bapa saudara dan sepupunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tanah ketika dalam perjalanan menziarahi pusara ahli keluarga.
IMedikel TV






