Home Buletin Semasa KPDN PERKUKUH PENGURUSAN SKIM PENSTABILAN MINYAK MASAK, TINGKAT SISTEM eCOSS

KPDN PERKUKUH PENGURUSAN SKIM PENSTABILAN MINYAK MASAK, TINGKAT SISTEM eCOSS

13
0

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pengurusan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) menerusi pelbagai langkah penambahbaikan termasuk memperluaskan penggunaan Sistem eCOSS bagi memastikan pengagihan minyak masak bersubsidi lebih telus dan berkesan.

Menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman rasmi KPDN, kementerian itu menyambut baik syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak serta menegaskan pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023.

“KPDN amat mengalu-alukan perakuan PAC mengenai kepentingan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) dengan menggesa peralihan daripada subsidi pukal minyak masak peket kepada subsidi bersasar melalui sistem ini.

“Pembangunan dan pelaksanaan Sistem eCOSS sejak tahun 2023 dilaksanakan dalam dua fasa bagi memperkukuh penggunaan sistem secara berperingkat di sepanjang rantaian bekalan serta memperluaskan penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan eCOSS membolehkan pengurusan kuota bulanan, transaksi jualan bekalan dan tuntutan subsidi direkodkan secara digital bermula dari peringkat kilang penapisan, syarikat pembungkus, pemborong sehingga ke peruncit.

“KPDN turut mengambil perhatian terhadap syor PAC supaya agihan semula kuota penapisan minyak masak memberi keutamaan kepada syarikat milikan tempatan yang berdaya saing.

“Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan COSS, KPDN juga sedang melaksanakan langkah intervensi secara berperingkat bagi menggalakkan syarikat pembungkus memperoleh bekalan daripada kilang penapis milikan tempatan,” jelas kenyataan itu.

KPDN turut memaklumkan beberapa langkah lain telah dilaksanakan, antaranya larangan penjualan minyak masak peket satu kilogram kepada warga asing, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan minyak masak sisa atau rosak, integrasi sistem eCOSS dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pemantauan berkala terhadap pemegang kuota serta pelaksanaan mekanisme zoning bagi pengedaran minyak masak bersubsidi.

Menurut kenyataan itu, kementerian akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap syarikat penapis, pembungkus, pemborong dan peruncit yang didapati melanggar undang-undang bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat yang layak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here