Home Buletin Semasa PENGURUSAN LATIHAN KEPAKARAN DILAKSANA SECARA TELUS, JPA PERJELAS TADBIR URUS SEKTOR KESIHATAN

PENGURUSAN LATIHAN KEPAKARAN DILAKSANA SECARA TELUS, JPA PERJELAS TADBIR URUS SEKTOR KESIHATAN

22
0

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan pengurusan sumber manusia sektor kesihatan termasuk Program Latihan Kepakaran Pegawai Perubatan dilaksanakan secara profesional, adil, telus dan berpandukan dasar serta peraturan yang berkuat kuasa.

Menerusi kenyataan media, JPA memaklumkan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan fakta, rekod pentadbiran, kepentingan penyampaian perkhidmatan awam serta keperluan rakyat bagi memastikan kelestarian sistem kesihatan negara.

“Setiap pertimbangan yang dibuat oleh JPA dilaksanakan mengikut tatacara pentadbiran yang berkuat kuasa serta disokong oleh rekod dan dokumentasi rasmi bagi memastikan integriti, kebolehkesanan dan akauntabiliti dalam setiap proses membuat keputusan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, sejak 2019 hingga 2025, kerajaan memperakukan pewujudan 53,516 jawatan baharu tanpa tukar ganti (trade-off) bagi menyokong pengoperasian fasiliti kesihatan baharu dan projek naik taraf dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.5 bilion.

“Selain itu, sebanyak 12,796 jawatan tetap bagi tiga skim utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut diwujudkan bermula 2022 hingga 30 Jun 2026 melibatkan implikasi kewangan RM2.2 bilion.

“Secara keseluruhan, JPA telah memperakukan 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.7 bilion,” jelas kenyataan itu.

JPA turut memaklumkan KKM memperuntukkan 400 slot Program Latihan Kepakaran Lanjutan bagi sesi 2026/2027 dan daripada 672 permohonan diterima, seramai 307 pegawai memenuhi syarat sebelum ditawarkan mengikuti program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pertimbangan khas yang diberikan JPA membolehkan 35 pegawai perubatan tambahan ditawarkan mengikuti latihan kepakaran, sekali gus meningkatkan jumlah penerima tawaran kepada 342 orang.

Bagaimanapun, semakan silang mendapati hanya 15 daripada 35 pegawai yang berjaya melalui pertimbangan khas merupakan sebahagian daripada kumpulan rayuan, manakala 108 pemohon masih tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

JPA turut memaklumkan kadar Graduate On Time (GOT) bagi Pegawai Perubatan ketika ini adalah sekitar 46 peratus, justeru pengurusan Jawatan Simpanan Latihan akan terus diperkukuh bagi mempercepat penempatan semula pegawai selepas tamat latihan serta membuka lebih banyak peluang kepada calon lain.

Jelas kenyataan itu, JPA akan terus bekerjasama rapat dengan KKM dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia sektor kesihatan melalui penambahbaikan tadbir urus, pengurusan latihan kepakaran dan perancangan tenaga kerja secara berterusan demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal mampan serta berdaya saing.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here