Home Buletin Semasa PKGK KUALA GANDAH PINDAH DUA GAJAH LIAR CEROBOH KAMPUNG DUSUN

PKGK KUALA GANDAH PINDAH DUA GAJAH LIAR CEROBOH KAMPUNG DUSUN

46
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

LIPIS: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah berjaya memindahkan dua gajah liar yang menceroboh kawasan Kampung Dusun, dekat sini, semalam.

Dua haiwan liar dengan berat antara 1.5 hingga 1.6 tan sebelum ini dilapor berkeliaran di kawasan Kampung Dusun dan Kampung Melaka, selain menceroboh kawasan ladang kelapa sawit di FELDA Kechau serta kawasan sekitar.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata dua gajah liar berusia antara 14 hingga 15 tahun itu ditangkap dalam operasi dijalankan anggota Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, kelmarin.

Beliau berkata, gajah dengan saiz tapak kaki kanan kira-kira 14 inci itu, tanda pengenalan (ID) pada haiwan terbabit mendapati sebelum ini menjadikan Taman Negara sebagai kawasan habitat semula jadi dan bergerak secara berkumpul sebelum berpisah bagi membentuk kumpulan baharu.

“Seramai 20 kakitangan PKGK Kuala Gandah dan PERHILITAN Pahang terbabit dalam operasi kali ini, kami dibantu dua ekor gajah denak Sanum dan Rambai. Operasi bermula sembilan pagi mengambil masa kira-kira enam jam.

“Kita bertindak memasang mikrocip dan pengukuran morfologi dilakukan, haiwan liar terbabit dilepaskan ke habitat yang bersesuaian jauh daripada penempatan dan projek pertanian,” katanya di sini, hari ini.

Katanya musim buah-buahan seperti durian, rambutan, duku dan manggis menjadi antara faktor gajah menceroboh kawasan kebun termasuk penempatan bagi mencari makan. Kini kes ancaman haiwan itu semakin bertambah membabitkan beberapa negeri seperti Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Beliau berkata, hampir setiap minggu pihaknya menerima aduan kemunculan gajah liar di kawasan kampung selain kebun dan ladang kelapa sawit di beberapa negeri, tindakan dilakukan dengan kerjasama PERHILITAN negeri dengan cara menghalau selain menangkap sebelum dipindahkan ke habitat semula jadi.

Katanya, selepas ini pihaknya akan ke Gerik, Perak, Gua Musang Kelantan dan Kluang, Johor bagi membantu menyelesaikan kemelut ancaman gajah liar dikatakan memusnahkan tanaman kelapa sawit dan menceroboh kawasan penempatan. Sekiranya perlu usaha menangkap dan memindahkan akan dilakukan.

“Saya menasihatkan pada pihak terbabit supaya tidak bertindak sendiri bagi menghalau gajah liar kerana perbuatan itu boleh mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here