Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: “Hukuman yang kami terima seolah-olah memberi peluang untuk kami ‘mati hidup semula’,” demikian luahan Ainun, 48, (bukan nama sebenar), yang kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan mengedar dadah.
Menurut Ainun, dia dan suaminya terbabit secara aktif dalam kegiatan mengedar dadah jenis methamphetamine selama kira-kira dua tahun sebelum ditahan polis selepas memiliki hampir dua kilogram dadah tersebut.
Katanya, mereka ditahan di rumah sebaik pulang dari Johor selepas mengambil bekalan dadah apabila kenderaan mereka diekori pihak polis sehingga ke kediaman.
“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Ketika itu barulah kami sedar mimpi ngeri menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati.
Namun, selepas mengambil kira kerjasama yang diberikan serta beberapa faktor lain, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, manakala suaminya turut dikenakan 12 sebatan.
Ainun mengakui menyesali penglibatannya dalam kegiatan pengedaran dadah kerana percaya perbuatannya telah memusnahkan kehidupan ramai individu, termasuk golongan muda dan nelayan di Rompin.
Katanya, keinginan untuk hidup mewah bersama keluarga mendorong dia dan suami menceburi kegiatan haram itu pada 2016. Bermula sekadar ingin mencuba, mereka meneruskannya selepas memperoleh keuntungan lumayan.
Kini menjalani hukuman di Penjara Bentong, manakala suaminya ditempatkan di Penjara Penor, Kuantan, Ainun berkata mereka tidak sabar menanti tarikh 2 Oktober untuk memulakan kehidupan baharu selepas tamat menjalani hukuman.
Beliau berkata, hukuman asal 12 tahun penjara yang diterima kemudiannya dikurangkan kepada lapan tahun, dan menganggap ia sebagai peluang kedua yang diberikan Allah untuk memperbaiki kehidupan.
Menurutnya, pengalaman lalu turut mengajarnya bahawa sehebat mana seseorang menyembunyikan kegiatan pengedaran dadah, akhirnya mereka tetap akan ditumpaskan pihak berkuasa.

Sepanjang berada di Penjara Bentong, Ainun mengisi masa dengan bekerja di Bengkel Pastry penjara, menghasilkan biskut raya serta pelbagai makanan sejuk beku bersama banduan lain.
Minat yang mendalam dalam bidang pembuatan pastri, kek, kuih dan makanan sejuk beku mendorongnya mengikuti dua kursus kemahiran sehingga berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua.
Katanya, pengalaman selama enam tahun di bengkel tersebut menjadi bekalan berharga untuk dia dan suami merealisasikan impian membuka kedai kek dan pastri selepas dibebaskan.
“Episod hitam ini menjadi pengajaran paling besar dalam hidup saya. Cukuplah sekali melakukan kesilapan. Pengalaman berada di penjara begitu lama benar-benar memberi keinsafan.
“Lima anak kami membesar tanpa belaian dan kasih sayang ibu bapa. Mereka hanya sesekali datang melawat kami di penjara. Malah, anak lelaki kami berkahwin tanpa kehadiran kami,” katanya yang kini bergelar nenek kepada seorang cucu.
IMedikel TV






