DHAKA: Hujan monsun lebat berterusan yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya 44 orang di tenggara Bangladesh, selain menyebabkan lebih sejuta penduduk terjejas ketika pihak berkuasa bergegas menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terkesan pada Sabtu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Kementerian Pengurusan Bencana dalam satu kenyataan memaklumkan banjir yang melanda tujuh daerah iaitu Chattogram, Cox’s Bazar, Bandarban, Rangamati, Khagrachhari, Moulvibazar dan Habiganj menjejaskan kehidupan harian penduduk, memencilkan ribuan keluarga serta menyebabkan 267,918 isi rumah terperangkap.
Gangguan bekalan elektrik, kerosakan jalan raya dan talian komunikasi yang terputus turut memperlahankan operasi menyelamat serta penghantaran bantuan.
Ramai penduduk tidak dapat memasak selama beberapa hari kerana kediaman mereka ditenggelami air, manakala sebahagian lagi berdepan kesukaran selepas lapisan lumpur tebal memenuhi ruang dapur dan rumah mereka.
“Air masih bertakung di dalam rumah kami dan kami tidak mempunyai cara untuk memasak. Bekalan makanan kering yang kami simpan sudah habis dan kami terpaksa mengharungi malam dalam kegelapan bersama anak-anak kerana bekalan elektrik terputus,” kata seorang penduduk di kawasan terjejas banjir di Chattogram, Nurul Islam.
Ribuan keluarga kini bergantung kepada makanan kering seperti beras hancur, biskut dan makanan yang tidak memerlukan proses memasak serta bantuan kecemasan yang disalurkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, jalan raya yang runtuh dan jambatan rosak menyukarkan pasukan bantuan untuk memasuki ke beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
Anggota tentera darat dan tentera laut sedang menghantar makanan, air minuman bersih, ubat-ubatan serta bekalan keperluan asas menggunakan bot ke kawasan penempatan yang terputus hubungan ketika pihak berkuasa memperhebat usaha bantuan.
“Kerajaan sedang melakukan segala yang termampu untuk membantu mangsa banjir. Bantuan makanan. bekalan air bersih dan bekalan perubatan sedang diagihkan dan kami menggesa penduduk yang kediaman mereka ditenggelami air supaya segera berpindah ke pusat pemindahan terdekat,” kata Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan, Iqbal Hossain ketika melawat kawasan terjejas di Chattogram.
Hujan lebat turut mencetuskan kejadian tanah runtuh di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar pada awal minggu ini, mengorbankan 16 pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak.
Lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem berkenaan dengan kebanyakan penempatan sementara dibina di lereng bukit yang curam dan gondol sekali gus menjadikannya amat berisiko dilanda tanah runtuh sepanjang musim monsun.
Bangladesh antara negara yang paling kerap dilanda bencana alam di dunia dengan hujan monsun bermusim yang sering mengakibatkan banjir, hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.
Menurut pakar, perubahan iklim menyebabkan kejadian hujan lebat dan cuaca berlaku dengan lebih kerap serta berintensiti tinggi sekali gus meningkatkan risiko dan kemusnahan akibat bencana tersebut. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






