Home Buletin Semasa 2.68 JUTA PENGUNDI JOHOR TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB ESOK

2.68 JUTA PENGUNDI JOHOR TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB ESOK

36
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Seramai 2.68 juta pengundi berdaftar di Johor akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, seramai 43,036 petugas pilihan raya akan ditugaskan bagi mengendalikan proses pengundian di 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri.

Katanya, semua persiapan bagi hari pengundian telah selesai dilaksanakan termasuk semakan peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Peralatan ini kemudiannya diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

“Pengundi dinasihatkan supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, sebaliknya digalakkan keluar mengundi mengikut masa yang disyorkan menerusi aplikasi MySPR Semak.

“Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masing-masing bermula jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu yang diwartakan bagi pusat mengundi.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan pengesahan oleh Kerani Pengundian Pertama (KP1),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SPR turut mengingatkan pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak selain petugas pilihan raya.

Katanya, pengundi digalakkan membuat semakan maklumat pengundian lebih awal bagi mengetahui pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor giliran menerusi portal MySPR Semak, aplikasi MySPR Semak, Hotline SPR atau di kaunter semakan daftar pemilih di pusat mengundi.

“Majikan turut diminta memberi tempoh munasabah kepada pekerja yang layak sebagai pemilih berdaftar untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Mengulas tempoh berkempen, Khairul Shahril berkata, ia akan berakhir pada jam 11.59 malam ini.

Sehubungan itu, semua calon dan parti politik diwajibkan menghentikan segala bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi secara fizikal atau menerusi media sosial selepas tempoh berkenaan.

“SPR turut mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Selain itu, penggunaan telefon bimbit di dalam saluran mengundi tidak dibenarkan. Pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkannya di tempat yang disediakan selepas menerima kertas undi dan hanya mengambilnya semula selepas selesai mengundi,” katanya.

Beliau berkata, semua pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi juga dilarang memakai pakaian atau membawa bahan yang mempunyai lambang, simbol, gambar, slogan atau apa-apa unsur kempen berkaitan parti politik atau calon bertanding.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang serta etika pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan aman, lancar dan teratur.

“Keputusan rasmi PRN Johor Ke-16 akan diumumkan selepas selesai proses penjumlahan rasmi undi di semua bahagian pilihan raya negeri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here