Home Buletin Semasa 200 POKOK DITANAM KUKUHKAN TEBING SUNGAI PAHANG

200 POKOK DITANAM KUKUHKAN TEBING SUNGAI PAHANG

35
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

PEKAN: Sebanyak 200 pokok daripada spesies ketapang, bintangor laut, beruas dan kelat jambu laut ditanam menerusi Program Penanaman Semula Pokok di kawasan Tebing Sungai Pahang di Kampung Tanjung Agas, dekat sini.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu turut bertujuan memulihara alam sekitar melalui penanaman semula spesies pokok yang sesuai di kawasan tebing sungai.

Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Tengah JPNP, Wan Zaizielawany Muhammad Zain berkata, program berkenaan adalah inisiatif pertama pihaknya melaksanakan aktiviti penanaman pokok di sepanjang Tebing Sungai Pahang bagi mengawal hakisan.

“Peserta bergotong-royong menanam empat spesies pokok yang dikenal pasti sesuai hidup di kawasan tebing Sungai Pahang.

“Program ini bukan sahaja menyumbang kepada usaha memelihara kelestarian alam sekitar, malah memupuk semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan sumber semula jadi dalam kalangan peserta,” katanya di sini.

Terdahulu program itu dirasmikan Pegawai Daerah Pekan, Azora@Ahmad Shamsudin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasir Pahang Berhad, Datuk Nor Hashim Abdul Aziz.

Menurutnya, lebih 60 peserta terdiri daripada kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Pengurusan Pasir Pahang Berhad, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta komuniti setempat menyertai program itu.

“Usaha memulihkan kawasan tebing sungai mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berkata, JPNP turut melaksanakan pelbagai program penanaman pokok setiap tahun bagi menghijaukan semula kawasan hutan yang diceroboh serta kawasan pesisir pantai.

“Kerjasama agensi kerajaan, swasta, sekolah dan universiti melancarkan lagi setiap kali program diadakan seluruh negeri ini,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here