PHUKET: Seorang lelaki warga Russia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Thailand pada Rabu selepas pegawai kastam menemukan ganja berisi 17.6 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam dua buah bagasi ketika bersiap sedia untuk meninggalkan negara tersebut.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, penahanan itu dilakukan di terminal pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.
Pegawai kastam, Rawin Kanokakorn bersama sepasukan anggota memeriksa dua bagasi beroda berwarna biru milik Sergei Chalabari, 30.
Hasil pemeriksaan menemui 35 bungkusan bunga ganja yang dibungkus secara vakum dengan berat kasar keseluruhan 11.4kg serta 12 bungkusan resin ganja seberat 6.2kg yang disorokkan di dalam kedua-dua bagasi terbabit.
Semua dadah bersama bagasi itu dirampas sebagai bahan bukti.
Dalam soal siasat awal, suspek mengaku kedua-dua bagasi dan semua bahan yang dirampas adalah miliknya.
Susulan itu, pihak berkuasa memaklumkan suspek akan didakwa atas kesalahan cuba menyeludup barang keluar dari Thailand tanpa melalui prosedur kastam yang sah.
Suspek kemudian ditahan dan diserahkan bersama barang rampasan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Sakhu untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Superintendan Balai Polis Sakhu, Kolonel Polis Salan Sankhisasanakun dan Timbalan Superintendan Siasatan, Leftenan Kolonel Polis Rattanawut Nukaew.
Turut terbabit dalam operasi ialah Ketua Rumah Kastam Lapangan Terbang Phuket, Nucha Jeeradit; Pengarah Bahagian Kawalan Kastam, Thanomjit Burirak dan Ketua Bahagian Siasatan dan Pencegahan, Charoenporn Jaengwansuk.
Suspek diserahkan kepada Timbalan Inspektor Siasatan Balai Polis Sakhu, Kapten Polis Chaphinya Surithamkul untuk tindakan undang-undang selanjutnya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






