Home Luar Negara PERNAH DIGELAR PENAKUT, KINI SUDAH DERMA 113 LITER DARAH

PERNAH DIGELAR PENAKUT, KINI SUDAH DERMA 113 LITER DARAH

43
0

NEW YORK: Seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS), Dan Ryan yang dilahirkan pada 1 November 1956 sudah mendermakan lebih 30 gelen (kira-kira 113 liter) darah kepada pihak Palang Merah, jumlah yang bersamaan dengan kira-kira 344 tin minuman Coca-Cola, lapor Rekod Dunia Guinness (GWR).

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, sumbangan konsistennya itu membolehkan beliau mencatat rekod dunia bagi pendermaan darah penuh (lelaki) terbanyak di Malta, New York, AS pada 24 Jun 2025.

Sebagai perbandingan, purata seorang dewasa mempunyai sekitar antara 1.2 hingga 1.5 gelen (kira-kira 4.5 hingga 5.6 liter) darah di dalam badan mereka.

Ryan mula menderma darah pada 1980 selepas mendiang abangnya memujuk dia untuk mencuba aktiviti berkenaan buat pertama kali.

“Abang saya yang juga seorang penderma tetap mengajaknya menyertai kempen pendermaan darah di tempat mereka bekerja sambil menjelaskan bagaimana sumbangan itu dapat membantu orang dan kemungkinan saya mungkin menjadi salah seorang yang memerlukan,” katanya kepada pihak GWR. 

Beliau berkata, abangnya mengambil masa selama beberapa minggu untuk memujuknya sebelum dia akhirnya bersetuju untuk menyertai kempen berkenaan. 

Pendermaan darah bukanlah sesuatu yang pernah terlintas dalam fikiran Ryan sebelum ini kerana dia amat membenci jarum suntikan.

“Saya ingin menambah bahawa selain daripada penjelasan yang diberikan, dia juga memanggil saya ‘penakut’ dan mencabar saya. Saya rasa apa sahaja cara pun boleh asalkan ia berkesan,” katanya secara berseloroh.

Mengimbau kembali pengalaman pendermaan pertamanya, warga emas berusia 69 tahun itu berkata, kakitangan Palang Merah sangat profesional dan berusaha sedaya upaya untuk menenangkan sebarang ketakutannya.

Dia masih ingat jantungnya berdegup kencang ketika jarum hendak dimasukkan ke lengannya, namun seperti kebanyakan perkara lain, ketakutan terhadap sesuatu yang tidak diketahui sebenarnya adalah jauh lebih buruk daripada pengalaman pendermaan itu sendiri.

Sejak detik itu, Ryan menjadi penderma darah tetap dan sepanjang 46 tahun lalu, dia hanya pernah berhenti selama tiga tahun ketika perlu menjalani rawatan akibat penyakit malaria.

Pihak Palang Merah Amerika iaitu bank darah terbesar di dunia memberikan pin penghargaan kepada penderma sebagai terima kasih atas sumbangan yang menyelamatkan nyawa dan setakat Mei lalu, Ryan sudah mengumpul sebanyak 32 pin penghargaan.

Ryan yang mula menghasilkan seni kraf kayu sebagai hobi sejak 15 tahun turut membuat bingkai khas yang besar untuk memuatkan kesemua pin penghargaan itu kerana dia merancang untuk terus menderma selagi mampu.

Malah, jika Ryan kekal konsisten, dia dijangka akan mencapai jumlah 40 gelen (kira-kira 151 liter) darah sejurus sebelum hari lahirnya yang ke-80 sekali gus berpotensi mengatasi rekod lama sebanyak 241 kali pendermaan yang dicatatkan oleh Paritosh Bagai dari India pada 20 Februari 2024. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here