Home Buletin Semasa KKM FOKUS TRANSFORMASI SISTEM KESIHATAN DIGITAL

KKM FOKUS TRANSFORMASI SISTEM KESIHATAN DIGITAL

46
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU : Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh agenda transformasi sistem kesihatan negara, menerusi pemerkasaan penjagaan kesihatan primer dan peluasan penggunaan teknologi digital bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih adil, berkualiti serta menyeluruh kepada seluruh rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata usaha itu merangkumi penambahbaikan aspek pencegahan penyakit, pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan serta penggunaan data kesihatan bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rawatan dan pengurusan kesihatan awam.

Bagaimanapun beliau menegaskan, teknologi semata-mata bukanlah jalan penyelesaian mutlak kepada jurang kesihatan awam, sebaliknya ia hanyalah satu instrumen atau alat bantuan.

“Realiti semasa menunjukkan kemajuan sektor kesihatan belum dinikmati secara saksama, khususnya apabila melibatkan komuniti di kawasan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan jauh demi mendapatkan rawatan asas.

“Apabila kita berbicara tentang jurang dalam kesihatan awam, kita sebenarnya berbicara tentang kelangsungan kehidupan manusia yang sebenar.

“Kedudukan demografik mahupun taraf pendapatan seseorang tidak wajar menjadi penentu kepada tahap kualiti kesihatan mereka.

“Teknologi hanyalah satu alat pemungkin, oleh itu, inovasi mestilah responsif terhadap keperluan komuniti agar jurang (akses perubatan) sedia ada tidak menjadi semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Asia-Pasifik (APCPH) Ke-9 Tahun 2026 di Hotel Doubletree di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad.

Menurut Hanifah Hajar, kerajaan komited melaksanakan transformasi sistem penjagaan kesihatan negara dengan memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Penjagaan Klinik (CCMS).

Katanya sistem itu memperluaskan pendigitalan rekod kesihatan pesakit di klinik-klinik kerajaan.

“Landskap kesihatan awam kini semakin kompleks dengan pelbagai cabaran baharu yang tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana agensi atau sektor.

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar menjelaskan kerajaan komited mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan negara, melalui pengukuhan penjagaan primer menerusi Sistem Pengurusan Penjagaan Klinik (CCMS) yang mendigitalkan rekod pesakit di klinik kerajaan.

Bagaimanapun katanya, cabaran kesihatan awam masa kini adalah terlalu kompleks dan tidak lagi mampu diselesaikan secara bersendirian atau ‘silo’ oleh satu-satu pihak sahaja.

“Kesihatan manusia berkait rapat dengan kesihatan global, gangguan ekosistem dan kemerosotan biodiversiti secara langsung mengancam kualiti udara serta keselamatan sumber air kita.

“Justeru, solidariti serantau amat diperlukan. Apabila kerajaan, penyelidik, profesional kesihatan, dan pihak industri bergabung tenaga, kita mampu mencipta pertahanan serantau yang lebih utuh dalam mendepani sebarang kecemasan kesihatan global pada masa hadapan,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu bertemakan ‘Merapatkan Jurang Kesihatan Awam melalui Teknologi, Perkongsian & Komuniti’.

Ia turut menghimpunkan pemimpin, pakar kesihatan awam, penyelidik, dan penggubal dasar dari rantau Asia-Pasifik bagi membincangkan solusi tuntas mendepani beban penyakit tidak berjangkit (NCD), isu kesihatan mental, fasa populasi menua dan ketidaksamarataan kesihatan.

Persidangan ini juga menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh sistem kesihatan awam dan menangani cabaran semasa secara praktikal.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here