Home Luar Negara CIUM DI TIKTOK, PASANGAN KEKASIH DI ACEH DISEBAT 21 KALI

CIUM DI TIKTOK, PASANGAN KEKASIH DI ACEH DISEBAT 21 KALI

BANDAR ACEH: Pegawai penguat kuasa syariah di Aceh, Indonesia, melaksanakan hukuman sebat terhadap sepasang kekasih, di khalayak ramai, semalam, selepas mereka dikesan bercium dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, lelaki dan wanita itu yang identiti serta umur mereka tidak didedahkan, masing-masing dikenakan hukuman 21 sebatan di sebuah taman awam di Banda Aceh, ibu negeri wilayah berkenaan.
Hukuman itu disaksikan puluhan orang, malah ada kalangan penonton yang meminta pegawai pelaksana hukuman supaya ‘menyebat lebih kuat’.

Ketua Polis Syariah Banda Aceh, Muhammad Rizal berkata, pasangan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas mereka dirakam bercium ketika melakukan siaran langsung di aplikasi video TikTok, sekali gus mencetuskan siasatan yang membawa kepada hukuman berkenaan.

“Mereka jelas melanggar syariat Islam,” katanya.

Katanya, ia adalah kali pertama di Aceh individu dikenakan hukuman kerana melanggar undang-undang syariah susulan kandungan yang disiarkan menerusi media sosial.

Perbuatan intim secara fizikal seperti bercium, berpelukan atau bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri adalah dilarang di Aceh, satu-satunya wilayah di negara Asia Tenggara itu yang melaksanakan undang-undang syariah.

Pada perlaksanaan hukuman sebat semalam, satu lagi pasangan turut dikenakan 27 sebatan selepas didapati bersalah berkhalwat, manakala dua lelaki masing-masing disebat 29 kali dan lapan kali kerana berjudi.

Mei lalu, pihak berkuasa Aceh menyebat dua lelaki dan dua wanita sebanyak 100 kali selepas mereka didapati bersalah melakukan hubungan seks luar nikah, manakala lima individu lain turut dikenakan hukuman sebat atas pelbagai kesalahan termasuk berdua-dua dengan individu bukan mahram dan mengambil minuman beralkohol.

Walaupun hukuman sebat tidak diperuntukkan dalam sistem perundangan nasional Indonesia, amalan itu terus mendapat sokongan kuat di Aceh yang melaksanakan undang-undang syariah.

Indonesia ialah negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, namun secara rasmi mengiktiraf enam agama selain kepercayaan masyarakat pribumi.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here