Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 31 pelatih GiatMARA Pahang menjadi perintis pada program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri nadir bumi yang kali pertama diadakan di negara ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (PNI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Aida Mustafa, berkata, peserta yang terpilih terdiri daripada pelatih kursus kimpalan yang sedang mengikuti latihan di enam GiatMARA di negeri ini.
“Program ini sepenuhnya dibiayai di bawah geran inovasi dan kajian sosial Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertujuan membangunkan kemahiran TVET industri nadir bumi di Pahang melalui pendekatan pembangunan kemahiran modal insan berorientasikan warga tempatan dan setempat.
“Program ini menyasarkan pemindahan pengetahuan dan pembangunan modul latihan khusus yang bersifat praktikal dalam bidang pengekstrakan deposit huluan dan pemprosesan nadir bumi,”katanya pada majlis penutup Latihan TVET Nadir Bumi di Auditorium Perpustakaan UMPSA Gambang, di sini.
Beliau berkata terdapat tiga fasa utama perlaksanaan aktiviti yang telah dirangka membabitkan pencerahan, latihan dan bengkel khusus.
“Peserta mengikuti latihan intensif nadir bumi membabitkan aspek, geologi, pemprosesan dan juga pencirian fizik-kimia unsur.
“Program ini menyasarkan pemindahan pengetahuan dan pembangunan modul latihan khusus yang bersifat praktikal dalam bidang pengekstrakan deposit huluan dan pemprosesan nadir bumi.,”katanya.
Peserta program, Che Hisyamuddin Che Abd Halim, 19, berkata pengalaman menyertai latihan ini begitu bermakna dalam mengetahui apa itu nadir bumi, cara mendapatkannya, kegunaan dan nilai dipasang tempatan serta antarabangsa.
“Sekiranya diberi peluang saya berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang nadir bumi di UMPSA, saya yakin bidang berkenaan menjanjikan peluang pekerjaan pada masa akan datang dengan gaji yang lumayan.
“Selepas mengikuti latihan di UMPSA saya kini semakin faham apa itu nadir bumi, saya difahamkan galian bernilai tinggi itu banyak terdapat di negara ini membabitkan kawasan berbukit,” katanya yang sedang mengikuti latihan kimpalan di GiatMARA Temerloh.
Seorang lagi peserta, Ahmad Nazri Abdul Aziz, 16, yang sedang mengikuti kursus kimpalan di GiatMARA Jerantut, berkata, nadir bumi mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa, faktor berkenaan mendorong usaha mendapatkan galian itu terus dilakukan di negeri ini.
“Saya yakin mampu menceburi industri nadir bumi sekiranya diberi peluang, tawaran UMPSA pada belia yang berminat melanjutkan pengajian perlu direbut,” katanya.
Program itu anjuran UMPSA Gambang dan peserta mengikuti latihan selama seminggu di dewan kuliah, makmal dan lapangan.
IMedikel TV






