Home Luar Negara PRAMUGARI SOROK HEROIN RM1.4 JUTA DITAHAN DI LAPANGAN TERBANG AUSTRALIA

PRAMUGARI SOROK HEROIN RM1.4 JUTA DITAHAN DI LAPANGAN TERBANG AUSTRALIA

32
0

MELBOURNE: Polis Australia menahan dan mendakwa seorang pekerja syarikat penerbangan dari Thailand atas dakwaan mengimport lebih satu kilogram (kg) heroin ke Melbourne.

Memetik The Independent, wanita berusia 26 tahun itu bertugas dalam sebuah penerbangan antarabangsa ketika tiba di Lapangan Terbang Melbourne pada Khamis lalu.

Menurut Polis Persekutuan Australia dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, dia ditahan selepas ketika pemeriksaan bagasi.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kata kenyataan itu, pemeriksaan menggunakan mesin sinar-X dan pemeriksaan lanjut menemukan serbuk putih yang disembunyikan dalam lapisan 12 beg kecil miliknya, manakala ujian awal dilaporkan memberikan keputusan positif bagi heroin.

Difahamkan, jumlah heroin itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran jalanan kira-kira AS$345,000 (kira-kira RM1.4 juta). 

Polis berkata, wanita itu didakwa atas pertuduhan mengimport dan memiliki dadah berkenaan yang membawa hukuman maksimum penjara 25 tahun dan akan dihadapkan ke mahkamah di Melbourne pada September. 

Dalam pada itu, polis Australia tidak mendedahkan nama wanita itu atau syarikat penerbangan tempat dia bekerja.

Bagaimanapun, Thai Airways pada Isnin mengesahkan, salah seorang pekerjanya ditahan di Melbourne dan syarikat itu sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku salah laku.

“Pekerja dilarang sama sekali memiliki, mengimport, mengangkut atau terbabit dalam narkotik atau apa-apa bahan atau barangan haram dalam apa jua bentuk,” kata syarikat penerbangan itu.

Thai Airways turut memaklumkan, ia sudah menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pekerja berkenaan mendapat akses kepada hak perundangan asas.

Mengimport atau mengeksport narkotik seperti methamphetamine boleh dikenakan hukuman mati di Thailand, walaupun hukuman penjara seumur hidup lebih lazim dijatuhkan.

Heroin dan dadah lain sering diseludup melalui Laos ke Thailand, sebelum sebahagian besarnya dihantar ke destinasi luar negara seperti Australia. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here