Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Dengan mengumpul 124 mata keseluruhan menobatkan Maziah Mahtar selaku juara Program Latihan Kemahiran dan Pertandingan Menembak di Lapang Sasaran Bridged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, di sini hari ini.
Tempat kedua milik Bahren Zuhaily Abdul Rahim yang mengumpul 107 mata dan ketiga Syed Mohd Adzha Syed Khalid dengan 97 mata.
Seramai 60 peserta menyertai program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Turut sama menyertai acara berkenaan Pengarah JPNP, Dato’ Zainuddin Jamaluddin dan Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) JPNP, Dr. Grippin Akeng dan Ketua Penolong Pengarah (Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia) JPNP, Zain Mokhsar Ahmad.
Menurut Maziah, dia tidak menyangka muncul juara buat kali kedua berturut-turut kerana saingan pada pertandingan kali ini lebih mencabar terutama apabila terpaksa bersaing dengan peserta lelaki.
Katanya, cuaca panas dan angin kencang menjejaskan tumpuan, dalam acara berpasukan dia tidak dapat melakukan tembakan yang memuaskan terutama apabila banyak yang tersasar.
“Bagaimanapun saya bersyukur apabila berjaya melakukan catatan mata yang lebih baik berbanding peserta lain terutama pencabar terdekat pemenang tempat kedua dan ketiga.
“Pengalaman dalam acara menembak banyak membantu saya muncul juara keseluruhan menembak JPNP yang diadakan setiap tahun,” katanya yang berasal dari Terengganu.
Beliau menambah, tumpuan dalam acara berpasukan hari ini sedikit terganggu terutama apabila dia terlalu inginkan kejayaan hingga menyebabkan tembakan gagal mengena sasaran, akhirnya impian merangkul kejuaraan tidak dapat terjemahkan.
Sementara itu, Zainuddin berkata, selain medan latihan program yang dianjurkan ini menjadi gelanggang menguji kemahiran menembak dikalangan kakitangan JPNP disemua peringkat. Semangat kerjasama berpasukan turut dapat dibentuk.

“Dua tahun berturut-turut juara milik penembak wanita, kemahiran yang dimiliki Maziah sukar dicabar oleh peserta lelaki. Mungkin tahun depan juara berpihak pada peserta lain.
“Jabatan akan menganjurkan lebih banyak pertandingan sukan pada masa akan datang dalam usaha mengeratkan hubungan dikalangan kakitangan JPNP disemua peringkat dan daerah,” katanya.
IMedikel TV






