GENEVA: Rundingan pusingan baharu bagi menangani konflik Asia Barat dijadualkan bermula hari ini, dengan delegasi Iran tiba di Switzerland beberapa jam mendahului Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, perkembangan itu berlaku ketika Teheran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan maut rejim Israel di Lubnan.
Sebelum berlepas ke Eropah, Vance berkata beliau berharap rundingan itu mampu mencapai kemajuan positif membabitkan isu nuklear dan gencatan senjata di Lubnan.
“Ini adalah dua perkara besar yang akan menjadi tumpuan utama kami,” katanya kepada pemberita.
Rundingan itu sepatutnya berlangsung Jumaat lalu, namun ditangguhkan pada saat akhir selepas Israel melancarkan serangan udara maut di Lubnan, ekoran kematian empat tenteranya dalam pertempuran.
Walaupun Washington mengumumkan lanjutan gencatan senjata lewat Jumaat lalu yang menjadi syarat perjanjian awal dengan Iran, tentera Israel dan pejuang Hizbullah kembali bertempur semalam dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar gencatan senjata.
Memetik kegagalan AS mematuhi kontrak serta pelanggaran gencatan senjata berterusan oleh rejim Zionis di selatan Lubnan, Komando Pusat Tentera Iran mengesahkan Selat Hormuz ditutup semula kepada semua trafik maritim.
Selat Hormuz, yang juga laluan utama penghantaran minyak dan gas, disekat oleh Iran sepanjang tempoh konflik sebelum Teheran bersetuju membuka semula laluan itu di bawah perjanjian awal yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatnya, Masoud Pezeshkian.
Bagaimanapun, Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan laluan selamat melalui perairan antarabangsa itu setakat ini masih kekal dan tentera AS kini berada dalam kesiapsiagaan penuh.
Dalam pada itu, Trump memberi amaran Washington sedia mengenakan tol sendiri di Selat Hormuz jika rundingan gagal memuktamadkan perjanjian.
“Tiada sebarang tol akan dikenakan melainkan ia dikuatkuasakan oleh dan untuk kepentingan AS,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Sementara itu, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araghchi, disahkan tiba di Switzerland lewat semalam.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menegaskan delegasi itu akan menuntut pelaksanaan komitmen pihak lawan.
“Jika gagal, keseluruhan persefahaman akan terjejas,” katanya, yang dipetik agensi berita IRNA.
Vance memaklumkan beliau hanya dapat berada di lokasi untuk tempoh sehari atau dua hari, manakala perunding AS, Jared Kushner dan Steve Witkoff sudah berada di sana bagi mengendalikan elemen teknikal.
Pakistan sebagai orang tengah mengesahkan rundingan peringkat teknikal dijadualkan berlangsung hari ini di Burgenstock, Switzerland, dengan pembabitan pengantara Pakistan dan Qatar bersama wakil AS serta Iran.
Rundingan itu bertujuan membuka ruang perbincangan selama dua bulan bagi menyelesaikan isu yang belum diputuskan dalam perjanjian awal, khususnya program nuklear Iran. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






