Home Buletin Semasa GURU ANTARA EMPAT DITAHAN DALAM SERBUAN DADAH DI BESUT

GURU ANTARA EMPAT DITAHAN DALAM SERBUAN DADAH DI BESUT

39
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BESUT: Empat lelaki tempatan termasuk seorang penjawat awam yang bertugas sebagai guru ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam satu serbuan di Kampung Raja, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada kira-kira jam 1.30 pagi hasil risikan dan maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan bahan yang disyaki dadah jenis ganja.

“Kesemua suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 36 tahun.

“Salah seorang daripada mereka adalah penjawat awam yang berkhidmat sebagai guru,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Katanya, polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam rangkaian pengedaran dadah di daerah ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a),” katanya.

Mohd Rozaime menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi memastikan jenayah berkenaan dapat dibendung secara berkesan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here