Home Buletin Semasa USM BAWA TEKNOLOGI IMBASAN JANTUNG KE PEDALAMAN, KESAN KES SENYAP DALAM KALANGAN...

USM BAWA TEKNOLOGI IMBASAN JANTUNG KE PEDALAMAN, KESAN KES SENYAP DALAM KALANGAN ORANG ASLI

154
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Kardiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mencipta satu lagi pencapaian dalam usaha memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan apabila membawa teknologi ekokardiografi mudah alih (portable echocardiography) ke kawasan pedalaman bagi mengesan penyakit jantung dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan komuniti luar bandar.

Inisiatif menerusi Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung HPUSM-KPT Prihatin MADANI di bawah projek berimpak tinggi COMPASSION (Community Program for Sustainable Impact Mission) yang berlangsung di Kampung Orang Asli Chemperoh dan Kampung Sungai Miak, Janda Baik, dekat sini pada 12 Jun lalu berjaya memberi manfaat kepada 150 penduduk setempat.

Pengarah Projek yang juga Felo Kardiologi HPUSM, Dr. Siti Aisyah Hussin berkata, program tersebut membuktikan pendekatan saringan bergerak (mobile screening) amat berkesan dalam membawa perkhidmatan kesihatan pakar terus ke kawasan pedalaman yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kardiologi.

“Antara keistimewaan program itu ialah penggunaan mesin ekokardiografi mudah alih yang membolehkan pemeriksaan jantung dilakukan secara terus di lapangan, sekali gus menjadikannya antara program terawal seumpamanya dilaksanakan di kawasan komuniti Orang Asli.

“Program intervensi komuniti berimpak tinggi (COMPASSION) ini membuktikan bahawa saringan bergerak ke kawasan pedalaman amat kritikal kerana ia berjaya mengesan kes-kes jantung senyap (asymptomatic) dan penyakit kronik yang tidak terkawal sebelum keadaan menjadi lebih serius atau memasuki fasa kecemasan.

“Program ini juga menunjukkan sinergi kukuh antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasakan agenda kesihatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Program berkenaan turut disertai Profesor Datuk Dr. Zukurnai Yusof, Profesor Madya Dr. W. Yus Haniff W. Isa, Dr. Nor Hanim Mohd Amin dan Profesor Dr. Alan Fong Yean Yip yang bertindak sebagai penasihat program.

Hadir sama Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kampung Sungai Miak, Sita Indon, Tok Batin Kampung Orang Asli Chemperoh, Saputra Al Aweng; serta Pembantu Pembangunan Masyarakat JAKOA, Mohd Norhelmi Mohamad.

Katanya sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti kesihatan dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah, saringan elektrokardiogram (ECG), pemeriksaan paras gula dalam darah, penilaian faktor risiko penyakit kardiovaskular, konsultasi bersama doktor pakar, saringan ekokardiogram (ECHO), pendidikan kesihatan dan sesi kaunseling berkaitan amalan gaya hidup sihat.

“Program itu turut memberi fokus kepada pengurusan dan pencegahan Diabetes Mellitus serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berhenti merokok, pengawalan berat badan, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal secara berkala.

“Seramai 63 orang dewasa menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala 47 penduduk menerima bantuan bakul makanan asas dan 40 kanak-kanak turut menerima manfaat menerusi pelbagai aktiviti kebajikan yang disediakan,”katanya.

Selain itu, Dr. Siti Aisyah berkata sebanyak 200 pek makanan sedia dimakan, 150 bakul makanan asas serta 100 pek hadiah dan permainan kanak-kanak diagihkan kepada komuniti setempat.

“Dalam usaha memperkasakan pemantauan kesihatan kendiri, sebanyak 10 unit mesin pemeriksaan gula darah turut diserahkan kepada peserta terpilih berserta penerangan mengenai cara penggunaan yang betul.

“Hasil saringan komprehensif yang dijalankan mendapati sebanyak 16 kes memerlukan tindakan susulan, dengan 14 kes dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran manakala dua kes lagi dirujuk ke Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lipis untuk pemeriksaan lanjut,”katanya.

Beliau berkata pada masa sama, seramai 40 peserta menjalani pemeriksaan ekokardiografi dan beberapa penemuan abnormal berjaya dikenal pasti sebelum dirujuk ke hospital berkaitan untuk rawatan lanjut. 

Kejayaan penganjuran program itu mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), USM, JAKOA, Persatuan Kardiologi Pantai Timur Malaysia (MECCS), National Heart Association of Malaysia (NHAM) dan komuniti setempat dalam memperkasakan agenda kesihatan rakyat selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Program berkenaan diharap dapat menjadi model kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kesihatan bergerak pada masa hadapan bagi memastikan golongan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menerima akses perkhidmatan kesihatan berkualiti. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here