Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memperkenalkan sistem baharu pengagihan minyak masak peket bersubsidi menerusi pembukaan 95 Point of Sale (POS) di seluruh negeri bermula 1 Julai ini bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi serta mengurangkan ketirisan dalam rantaian bekalan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan Fasa 5 sistem agihan baharu itu adalah kesinambungan kepada inisiatif yang telah dilaksanakan sejak Mei 2025 dan menunjukkan perkembangan positif.
“Menerusi mekanisme baharu berkenaan, minyak masak peket akan dibekalkan terus oleh syarikat pembungkus semula (repacker) kepada POS tanpa melalui pemborong.
“Kaedah ini membolehkan bekalan diagihkan secara lebih cekap, teratur dan mencukupi mengikut keperluan pengguna, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan di peringkat peruncitan,” katanya ketika program turun padang serta merasmikan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di premis Pasar Raya Econsave Cawangan Taman Daya, Johor Bahru.
Menurut Fuziah, maklum balas yang diterima daripada pengguna menunjukkan pendekatan tersebut berjaya membantu memastikan bekalan minyak masak peket sentiasa tersedia selain mengurangkan risiko kekurangan stok barangan kawalan.
Dalam usaha memastikan subsidi dinikmati golongan sasar, beliau berkata pembelian minyak masak peket kini dikawal lebih ketat menerusi penggunaan sistem eCOSS.
“Pengguna perlu membuat pengesahan status melalui aplikasi eCOSS atau menunjukkan kad pengenalan semasa pembelian.
“Selain membantu memantau corak pembelian, sistem ini meningkatkan ketelusan dalam pengagihan subsidi serta menghalang ketirisan bekalan kepada warga asing,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sistem eCOSS membolehkan pemantauan transaksi dilakukan secara menyeluruh melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong, peruncit sehingga kepada pengguna.
“Bagi negeri Johor, sebanyak 3,110 tan metrik minyak masak peket diperuntukkan setiap bulan, dengan 1,120 tan metrik daripadanya diagihkan menerusi 18 syarikat pembungkus semula kepada POS di seluruh negeri.
“Jumlah kuota ini adalah konsisten dan akan terus disalurkan mengikut keperluan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata pelaksanaan PJRM di Johor turut merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 920 siri program itu telah dilaksanakan di seluruh negeri sehingga 13 Jun lalu.
Katanya, program berkenaan melibatkan kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), berjaya menarik kira-kira 2.3 juta pengunjung serta merekodkan lebih 1.46 juta transaksi.
“Di peringkat nasional pula, sebanyak 13,692 siri PJRM telah dilaksanakan sejak 1 Januari hingga 13 Jun lalu.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.
“Bermula Mei lalu, kekerapan pelaksanaan Jualan RAHMAH di setiap kawasan DUN telah ditingkatkan kepada lima kali sebulan berbanding tiga kali sebelum ini bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus komited memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi, mudah diperoleh dan ditawarkan pada harga berpatutan demi menjaga kebajikan pengguna serta mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai tarikh dan lokasi pelaksanaan PJRM melalui portal rasmi KPDN di Portal PJRM.
IMedikel TV






