Home Buletin Semasa KEPUTUSAN STPM 2025 DI KELANTAN MENINGKAT

KEPUTUSAN STPM 2025 DI KELANTAN MENINGKAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 negeri Kelantan menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri itu meningkat kepada 3.06 berbanding 3.00 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Azhan Anuar berkata, peningkatan sebanyak 0.06 mata itu membuktikan kecemerlangan berterusan calon STPM negeri berkenaan.

Menurut beliau, daripada 3,568 calon yang mendaftar untuk menduduki STPM 2025, seramai 3,289 calon atau 92.18 peratus hadir menduduki peperiksaan tersebut.

“Daripada jumlah itu, seramai 160 calon atau 4.86 peratus memperoleh PNGK 4.00, meningkat sebanyak 35 calon berbanding tahun sebelumnya.

“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang 5A turut meningkat daripada 31 calon pada STPM 2024 kepada 37 calon pada tahun ini, manakala calon yang memperoleh 4A meningkat daripada 94 kepada 123 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 Peringkat Kelantan di Bilik Mesyuarat Asy-Syura Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh pada peringkat prinsipal bagi empat dan lima mata pelajaran turut meningkat daripada 85.32 peratus pada tahun 2024 kepada 86.90 peratus tahun ini, melibatkan seramai 2,858 calon.

“Selain itu, sebanyak 99.57 peratus atau 3,275 calon yang hadir layak dianugerahkan sijil STPM 2025.

“Dari segi aliran pengajian, seramai 3,152 calon atau 95.83 peratus terdiri daripada aliran sains sosial, manakala 137 calon atau 4.17 peratus daripada aliran sains,”katanya.

Azhan berkata, kesemua 16 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 80 peratus.

Tambahnya, daripada 3,289 calon yang hadir, sebanyak 99.57 peratus atau 3,275 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2025.

Katanya Kelantan turut melakar kejayaan di peringkat kebangsaan apabila tiga sekolah tersenarai sebagai antara sekolah terbaik STPM 2025 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas; SMK Pengkalan Chepa 1, Kota Bharu dan SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here