KUALA LUMPUR: Pelawak Achey memaklumkan isterinya, Nor Hasanah Yahaya kembali menjalani proses persenyawaan in vitro (IVF) buat kali kedua sebagai ikhtiar untuk menimang cahaya mata.
Memetik laporan Harian Metro menerusi hantaran di Instagram, Achey atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah, 40, bersama isteri memohon doa daripada orang ramai agar urusan mereka dipermudahkan kali ini.
“Bismillah, semoga semuanya dipermudahkan. Doakan kami yang baik-baik ya.
“Dalam dada ini macam-macam rasa. Tiara gembira bila tahu mama sudah mula menjalani proses IVF. Dia sudah merancang apa mahu buat dengan adik dia,” tulisnya di hantaran Instagram, baru-baru ini.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan itu, Nor Hasanah atau lebih mesra disapa Anne meluahkan rasa bimbang jika anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah, 8, terlalu meletakkan harapan tinggi untuk memperoleh adik.
Anne mengakui dia bimbang sekiranya kekecewaan yang pernah dilalui keluarga mereka sebelum ini berulang kembali selepas percubaan IVF pertama tidak berjaya.
“Tiara balik sekolah terus tanya ‘baby’, mama takut sebenarnya. Takut kakak (Tiara) terlalu berharap nak adik, mama takut kecewakan kakak lagi.
“Mama ingat lagi tahun 2022, awak sedih sampai tak nak makan sebab ‘baby’ tak jadi (rawatan gagal).
“Mama, ayah usahakan selagi kami mampu ya sayang. Mama dan ayah sayang awak sangat-sangat,” luahnya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis lalu.
Difahamkan, proses rawatan IVF kali kedua dilakukann di sebuah pusat perubatan di ibu kota bermula Khamis lalu.
Terdahulu, Achey dan Anne menjalani proses rawatan IVF pada Disember 2022, namun prosedur berkenaan tidak berjaya.
Untuk rekod, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada 2011 dan mereka mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018.-HMetro Online-
IMedikel TV






