Home Buletin Semasa JASLINDA ALAMI BEBERAPA KECEDERAAN SEPANJANG SESAT DALAM HUTAN – BOMBA

JASLINDA ALAMI BEBERAPA KECEDERAAN SEPANJANG SESAT DALAM HUTAN – BOMBA

39
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TAPAH: Seorang pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu akhirnya ditemukan selamat selepas mengharungi 14 hari di kawasan hutan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa, Jaslinda Saludin, 49, ditemui dalam keadaan stabil meskipun mengalami beberapa kecederaan ringan akibat beberapa kali terjatuh sepanjang usaha mencari jalan keluar dari hutan.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala selain kesan gigitan serangga seperti agas sepanjang tempoh berada di kawasan berkenaan.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada mangsa, beliau terjatuh beberapa kali ketika cuba keluar dari hutan termasuk di kawasan sungai dari ketinggian kira-kira lima meter dan tiga meter.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya bangun semula dan meneruskan perjalanan sehingga ditemukan pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan mangsa secara keseluruhannya adalah stabil dan tidak mengalami kecederaan serius meskipun terpaksa bertahan hampir dua minggu di dalam hutan.

“Alhamdulillah, mangsa berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Sabarodzi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk agensi penyelamat, komuniti Orang Asli, sukarelawan serta orang awam yang memberikan kerjasama sepanjang operasi dijalankan.

Beliau berkata, sokongan dan doa rakyat Malaysia turut menjadi pembakar semangat kepada anggota penyelamat yang bertungkus-lumus sepanjang misi berkenaan.

“JBPM Perak mengucapkan terima kasih kepada semua agensi, pasukan penyelamat, komuniti Orang Asli, sukarelawan dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan mangsa serta anggota operasi sepanjang misi SAR dilaksanakan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here