Home Buletin Semasa JASLINDA DITEMUI SELAMAT 3 PETANG TADI – BOMBA

JASLINDA DITEMUI SELAMAT 3 PETANG TADI – BOMBA

113
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikelTV

IPOH: Misteri kehilangan seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih berakhir dengan khabar gembira apabila mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Sadon berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR), Jaslinda Saludin,49, ditemukan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 3petang.

Beliau berkata, mangsa ditemui oleh seorang penduduk dikenali sebagai Nazri Bah Eng sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh pada kira-kira jam 3 petang.

“Ketika ini, mangsa berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JBPM Perak hari ini.

Beliau berkata, JBPM Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi penyelamat, komuniti Orang Asli, sukarelawan serta orang awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang operasi pencarian dijalankan.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam usaha mengesan mangsa sehingga berjaya ditemukan dengan selamat.

“Terima kasih atas segala doa, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi ini berlangsung,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jaslinda hilang sejak 24 Mei lalu selepas mendaki gunung berkenaan bersama 13 ahli kumpulan dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 2 pagi 23 Mei untuk pendakian Trans Spencer Chapman.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here