Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Bekalan bahan api negara dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga penghujung Ogos hasil usaha berterusan kerajaan mendapatkan sumber bekalan dari pelbagai pasaran antarabangsa.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, bekalan semasa turut disokong oleh usaha berterusan pihak industri tenaga negara.
Menurut beliau, kerajaan kini giat mencari sumber bahan api di seluruh dunia bagi memastikan keperluan negara terus terjamin.
“Alhamdulillah, usaha ini nampaknya menunjukkan hasil yang kita harapkan.
“InsyaAllah dari segi bekalan bahan api, kita tidak akan terkesan secara terlalu negatif,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat mengelakkan pembaziran penggunaan bahan api, manakala kerajaan akan terus memperketatkan usaha membanteras penyeludupan bahan api di kawasan sempadan.
“Kerajaan akan mengetatkan lagi usaha mengekang penyeludupan bahan api di kawasan sempadan bagi memastikan bekalan negara terus terpelihara,” katanya.
IMedikel TV






