Home Buletin Semasa JAS REKOD DENDA RM4.59 JUTA KES PENCEMARAN ALAM SEKITAR, LEBIH 5,000 PEMERIKSAAN...

JAS REKOD DENDA RM4.59 JUTA KES PENCEMARAN ALAM SEKITAR, LEBIH 5,000 PEMERIKSAAN DILAKSANAKAN

59
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan jumlah denda sebanyak RM4.59 juta melibatkan kes pencemaran alam sekitar hasil lebih 5,000 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Menurut kenyataan JAS hari ini, sebanyak 5,074 pemeriksaan telah dilaksanakan membabitkan 4,339 premis yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pemeriksaan tersebut melibatkan pelbagai sektor industri berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar termasuk kilang minyak kelapa sawit mentah, kilang getah asli mentah, kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual, loji rawatan kumbahan serta industri lain.

“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, JAS telah mengambil sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan terhadap pihak yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” menurut kenyataan itu.

Tindakan penguatkuasaan tersebut merangkumi 1,587 Notis Arahan, 1,369 kompaun, 44 tindakan penahanan operasi kelengkapan, dua penggantungan lesen, 18 Perintah Larangan serta 129 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan.

Selain itu, sebanyak 148 kes telah selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM4,598,500 serta hukuman penjara sehari.

Dalam tempoh sama, JAS turut melaksanakan 1,906 operasi penguatkuasaan pelepasan asap kenderaan bermotor melibatkan pemeriksaan terhadap 137,722 kenderaan di seluruh negara.

Bagi projek yang mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), sebanyak 811 pemeriksaan telah dijalankan.

Dalam usaha mengekang kemasukan haram buangan terjadual ke negara ini, JAS memaklumkan sebanyak 51 operasi pemeriksaan dilakukan di pelabuhan utama membabitkan 702 kontena yang disyaki membawa buangan terjadual.

“Hasil pemeriksaan mendapati 427 kontena mengandungi buangan terjadual termasuk buangan elektrik dan elektronik.

“Susulan itu, sebanyak 73 Notis Arahan telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena terbabit dihantar keluar dari Malaysia dan setakat ini, 53 kontena berjaya dipulangkan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, pemantauan isu pembakaran terbuka turut dipertingkatkan menerusi 3,237 siasatan di seluruh negara termasuk terhadap 494 titik panas (hotspot) yang disyaki berlaku pembakaran terbuka.

JAS turut memperkasakan penggunaan teknologi menerusi 409 penerbangan dron bagi tujuan pemantauan dan pengawasan pencemaran alam sekitar secara lebih berkesan dan strategik selain membantu proses siasatan serta penguatkuasaan.

“Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, JAS telah menerima sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar dan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here