Home Buletin Semasa 11 LEMBU ‘DICEKUP’ BERKELIARAN, EXCO KELANTAN INGATKAN PENTERNAK JANGAN AMBIL MUDAH KESELAMATAN...

11 LEMBU ‘DICEKUP’ BERKELIARAN, EXCO KELANTAN INGATKAN PENTERNAK JANGAN AMBIL MUDAH KESELAMATAN JALAN RAYA

6
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Menjelang musim cuti perayaan dan kepulangan perantau ke kampung halaman, pemilik ternakan di Kelantan diingatkan supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.

Memetik laporan UPKN, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, aspek keselamatan pengguna jalan raya perlu diberi keutamaan terutama ketika jumlah kenderaan dijangka meningkat bermula minggu depan.

Langkah itu penting demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan kejadian tidak diingini melibatkan haiwan ternakan merayau,”katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau kandang lembu milik Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) pada Ahad.

Dalam operasi penguatkuasaan terbaru yang dijalankan MDGM, sebanyak 11 ekor lembu berjaya ditangkap menerusi Operasi Haiwan Merayau di sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

“Semua haiwan terbabit kini ditempatkan sementara di kandang MDGM sehingga tamat tempoh Notis Tuntutan mengikut Seksyen 4(1) Undang-Undang Kecil (UUK) Haiwan Merayau.

“Selepas tamat tempoh notis, pihak MDGM akan melaksanakan lelongan awam sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 5 UUK berkaitan atau tindakan pelupusan oleh Yang Dipertua MDGM,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi pada Isnin.

Beliau turut menyeru pemilik lembu dan kerbau agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan ternakan mereka tidak dibiarkan bebas berkeliaran sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Keadaan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama perantau yang mula pulang berhari raya bermula minggu depan,”jelasnya.

Katanya, operasi seumpama itu akan dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here