Home Buletin Semasa DENDAM LAMA DIPERCAYAI PUNCA LELAKI OKU DIBUNUH

DENDAM LAMA DIPERCAYAI PUNCA LELAKI OKU DIBUNUH

35
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Kampung Ladang Merdeka, Cherbu, Padang Lati, Bachok pada 14 April lalu.  

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, motif pembunuhan tersebut dipercayai membabitkan dendam lama.

“Hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan membawa kepada penahanan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun termasuk pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan pergaduhan antara mangsa dengan suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tujuh suspek negatif dadah. Motif dipercayai lebih kepada perselisihan faham dan pergaduhan yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. 

“Dalam kes ini, kita menahan tujuh individu dan kes dianggap selesai.

“Ketika ini proses reman masih berjalan dan pihak polis dijangka membuat pertuduhan dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya polis turut merampas  pelbagai barangan termasuk sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit, dua batang kayu serta satu komponen motosikal.

Beliau berkata, mangsa dipercayai pergi ke sebuah bengkel kereta tidak berlesen di Bachok sebelum berlaku pergaduhan yang menyebabkan mangsa dipukul menggunakan topi keledar serta blok motosikal.

Mohd Yusoff berkata pihaknya mengenal pasti dua suspek utama masing-masing berusia 25 dan 27 tahun, manakala suspek lain dipercayai membantu melupuskan bahan bukti serta mengalihkan mangsa dari lokasi kejadian.

“Mereka dipercayai membawa mangsa kira-kira 6.5 kilometer (km) sebelum meninggalkannya di tepi jalan bagi mengaburi pihak berkuasa seolah-olah mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Namun pemeriksaan terhadap motosikal mangsa mendapati tiada kesan kerosakan seperti kebiasaannya berlaku dalam kemalangan, sekali gus menimbulkan keraguan sebelum hasil bedah siasat mengesahkan puca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU pembelajaran Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 19, meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini, pada jam 12.55 tengah malam pada 15 April. 

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here