Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan kes bunuh di negeri ini meningkat 100 peratus bagi tempoh empat bulan pertama berbanding tahun lalu dalam tempoh sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak lima kes direkodkan setakat ini berbanding satu kes pada tahun lalu.
“Kes bunuh ini adalah jenayah yang sukar dijangka dan dicegah kerana kita tidak tahu bila seseorang itu akan bertindak membunuh.
“Bagaimanapun, peningkatan kes berkenaan sememangnya membimbangkan apabila bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, jumlah kes meningkat lebih 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di sini, hari ini.
Berdasarkan pemerhatian, Mohd Yusoff berkata antara punca kes tersebut adalah disebabkan kelemahan iman.
“Pada pandangan saya, perkara ini juga berkait rapat dengan pegangan iman seseorang. Apabila seseorang itu semakin jauh daripada nilai agama dan tidak mengingati Tuhan, pelbagai perkara buruk boleh berlaku termasuk tindakan di luar kawalan seperti jenayah.
“Tidak semua kes mempunyai kaitan dengan dadah kerana ada suspek yang didapati positif dadah dan ada juga yang tidak.
“Justeru, setiap kes perlu dilihat secara berasingan dan tidak boleh dibuat rumusan secara umum,” katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat agar lebih peka dengan persekitaran dan pergerakan ahli keluarga termasuk anak-anak bagi mengekang jenayah tersebut.
IMedikel TV






