Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Dua lelaki ditahan kerana membawa lebih satu tan minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk diseludup ke Thailand.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa KPDN dan Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor mendapati maklumat risikan sebelum mengekori kenderaan Perodua Alza yang dinaiki dua lelaki berkenaan.
Katanya, operasi itu dijalankan kira-kira jam 10 malam, semalam menerusi Ops Tiris 4.0 (bersepadu) di Banggol Chicha, di sini.

“Pihak berkuasa kemudian mengekori kenderaan terbabit dari kawasan Bulatan Lemal menghala ke Rantau Panjang sebelum pemandunya bertindak memandu secara melulu dan berbahaya sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kenderaan itu akhirnya berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Banggol Chicha, di sini dan pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah besar minyak masak paket satu kilogram (kg) disimpan di bahagian tempat duduk belakang serta bonet kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,207 kg minyak masak bersubsidi disita bersama sebuah kereta Perodua Alza bernombor pendaftaran tempatan.
“Dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun yang berada dalam kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala tangkapan dibuat di bawah akta yang sama.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.
IMedikel TV






