LONDON: Liverpool kembali beraksi apabila Chelsea bertandang ke Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, The Reds masih menunggu kepastian mengenai pemain yang akan tersedia untuk perlawanan menentang pasukan yang kini sedang melalui enam kekalahan berturut-turut dalam liga.
Alexander Isak menjadi kebimbangan kecederaan terbaru Liverpool selepas tidak bermain ketika tewas 2-3 kepada Manchester United pada Ahad akibat masalah kecil di bahagian pangkal paha. dan pengurus, Arne Slot berharap penyerang itu hanya akan berehat seketika.
Kebimbangan utama Liverpool kini tertumpu kepada sama ada Alisson Becker mampu kembali cergas selepas terlepas lapan perlawanan terakhir akibat kecederaan hamstring.
Dengan Giorgi Mamardashvili masih belum pulih daripada kecederaan lutut serius, penjaga gol pilihan ketiga Freddie Woodman bersedia untuk sekali lagi menggalas tugas di gawang.
Mohamed Salah pula dijangka terus diketepikan selepas terlepas aksi di Old Trafford akibat kecederaan hamstring yang dialaminya ketika kemenangan ke atas Crystal Palace minggu sebelumnya.
Namun Liverpool yakin beliau akan kembali beraksi sebelum meninggalkan kelab pada penghujung musim.
“Seperti kita tahu tentang Mo, dia sentiasa bekerja sangat keras ketika cergas dan juga ketika cedera untuk kembali secepat mungkin,” kata Slot sebelum kekalahan kepada United.
“Biasanya dia pulih lebih cepat berbanding pemain lain apabila mengalami kecederaan ringan, jadi kami jangka dia akan kembali untuk bahagian akhir musim.”
Hugo Ekitike pula dijangka berehat panjang selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan koyakan tendon Achilles yang dialaminya ketika menentang Paris Saint-Germain bulan lalu, menurut laporan Liverpool Echo.
Conor Bradley disahkan terlepas baki musim ini selepas menjalani pembedahan lutut pada Januari, manakala pertahanan muda Giovanni Leoni juga masih berehat sehingga musim panas selepas pembedahan ACL pada September.
Sementara itu, Wataru Endo masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan buku lali pada Februari dan semakin hampir untuk kembali menyertai latihan penuh.
Prospek muda Stefan Bajcetic dan Jayden Danns pula masih belum membuat penampilan Liga Perdana musim ini dan dijangka sukar untuk diturunkan.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






