Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti terdapat isu teknikal berhubung integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN pada April lalu.
Menurut kenyataan KPDN, isu berkenaan menyebabkan sebahagian pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu dan tukar milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April lalu tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lepas.
“Sehubungan itu, KPDN sedang melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dapat dilaksanakan dengan segera.
“Bagi mempercepatkan proses semakan dan pengemaskinian, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan dimohon untuk mengemukakan maklumat seperti nama syarikat, nombor pendaftaran SSM, nombor pendaftaran kenderaan dan tarikh memperbaharui cukai jalan atau pendaftaran kenderaan baharu atau tukar milik melalui pautan berikut https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA,” jelas kenyataan itu.
Jelas KPDN, semua maklumat berkenaan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 8 Mei (Jumaat), sebelum jam 5.00 petang.
KPDN menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei depan.
“Maklumat lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan KPDN amat menghargai kerjasama semua pihak dan komited untuk memastikan proses penyaluran subsidi kepada golongan serta sektor yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya.
IMedikel TV






