Home Luar Negara KOREA UTARA TEGASKAN TIDAK TERIKAT DENGAN PERJANJIAN NUKLEAR

KOREA UTARA TEGASKAN TIDAK TERIKAT DENGAN PERJANJIAN NUKLEAR

50
0

SEOUL: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Utusan Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan negaranya tidak terikat dengan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Utusan tertinggi PBB Korea Utara, Kim Song, berkata tekanan luar tidak akan mengubah statusnya sebagai negara bersenjata nuklear, lapor media rasmi Korea Utara, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), hari ini.

Pada 1993, Korea Utara menarik diri daripada NPT dan sejak itu menjalankan enam ujian nuklear yang menyebabkannya dikenakan pelbagai resolusi PBB, selain dipercayai memiliki berpuluh-puluh kepala peledak nuklear.

Kenyataan Kim Song pada Persidangan Semakan NPT ke-11 yang berlangsung di ibu pejabat PBB itu disiarkan KCNA, menyatakan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara sekutunya secara melulu mempersoalkan status semasa dan pelaksanaan hak kedaulatan Korea Utara.

“Status Korea Utara sebagai negara bersenjata nuklear tidak akan berubah berdasarkan dakwaan retorik luar atau keinginan sebelah pihak.

“Untuk menjelaskan sekali lagi, Korea Utara tidak akan terikat dengan NPT dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

Katanya, status negara itu sebagai negara bersenjata nuklear sudah termaktub dalam Perlembagaan dan secara telus mengisytiharkan prinsip penggunaan senjata nuklear.

Korea Utara secara konsisten menegaskan bahawa ia tidak akan melepaskan senjata nuklearnya, menyifatkan laluan itu sebagai tidak boleh diubah dan sebaliknya berikrar untuk memperkukuh keupayaannya.

Korea Utara dilaporkan sudah menghantar tentera darat dan peluru meriam untuk menyokong pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan pemerhati berkata Korea Utara menerima bantuan teknologi ketenteraan daripada Russia sebagai balasan.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), sembilan negara bersenjata nuklear membabitkan Russia, AS, Perancis, United Kingdom (UK), China, India, Pakistan, Israel dan Korea Utara memiliki 12,241 kepala peledak nuklear pada Januari 2025.

Katanya, AS dan Russia memegang hampir 90 peratus senjata nuklear pada peringkat global dan sudah melaksanakan program utama untuk menaik taraf dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here