Home Buletin Semasa PGA RAMPAS 500,000 BATANG ROKOK PUTIH

PGA RAMPAS 500,000 BATANG ROKOK PUTIH

72
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 500,000 batang rokok putih di Kampung Pantai Sabak, di sini pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rokok tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran.

Katanya, pihak berkuasa membuat serbuan kira-kira jam 9.30 malam menerusi Op Taring Alpha 1 di kawasan itu dan mengesan dua buah kenderaan serta beberapa lelaki sedang memunggah kotak berwarna coklat ke dalam sebuah kenderaan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa suspek bertindak melarikan diri menggunakan perahu, namun seorang lelaki berjaya ditahan di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua buah kenderaan iaitu Proton Exora dan Nissan Grand Livina menemukan sebanyak 50 kotak rokok putih seludup dianggarkan mengandungi 500,000 batang rokok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, semakan lanjut juga mendapati dua kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, suspek berperanan sebagai pemandu penghantaran rokok seludup yang dibayar RM300 dan mula terlibat dalam kegiatan itu sejak April lalu selepas ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki Thailand melalui aplikasi ‘WhatsApp’.

“Menurut pengakuan suspek, dia diarahkan mengambil kenderaan yang siap diisi dengan rokok seludup sebelum menghantarnya ke lokasi tertentu seperti di kawasan Tok Bali.

“Suspek turut memaklumkan kenderaan yang digunakan bukan miliknya, sebaliknya disewa oleh individu berkenaan daripada penduduk tempatan dan nombor pendaftaran sering ditukar bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, suspek turut mengakui tidak pernah bersemuka dengan dalang terbabit kerana hanya menerima arahan melalui panggilan telefon serta WhatsApp.

“Keseluruhan nilai rampasan melibatkan dua buah kenderaan dan rokok seludup itu dianggarkan berjumlah RM960,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here