Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang wanita orang kurang Upaya (OKU) dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang 3 Manik Urai Lama, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum mengarahkan enam anggota bomba dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai ke lokasi kejadian sejauh 21 kilometer.
Katanya, kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda menghala ke Gua Musang manakala sebuah kereta lagi menghala ke Kuala Krai dan terbabit kemalangan di lokasi itu.
“Siasatan mendapati, mangsa yang maut adalah pemandu pacuan empat roda, Mohd Yusof Mat Yasim, 64 serta penumpang kereta, Muhamad Irfan Zaidin, 20.
“Manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan, iaitu wanita OKU, Nur Hakimah Mohd Yusof, 31, Hasrah Hassan, 61, yang merupakan penumpang pacuan empat roda dan pemandu kereta Muhammad Hakimi Hakim Ibrahim, 24,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya anggota bomba mengeluarkan mangsa yang cedera sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Imedikel TV






