SAO PAULO: Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian sekurang-kurangnya enam orang maut, manakala ribuan penduduk hilang tempat tinggal akibat hujan lebat dan banjir di negeri Pernambuco dan Paraiba di Brazil sejak kelmarin.
Di Pernambuco, hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di ibu negeri itu, Recife serta kawasan berhampiran.
Dua orang maut di Recife manakala dua lagi di kawasan kejiranan Olinda, sementara kira-kira 1,500 penduduk terpaksa berpindah atau kehilangan tempat tinggal.
Di Paraiba pula, dua kematian dilaporkan manakala 1,800 penduduk lagi hilang tempat tinggal, menurut Kementerian Integrasi dan Pembangunan Serantau Brazil.
Katanya, antara bandar paling teruk terjejas termasuklah Conde, ibu negeri Joao Pessoa dan Campina Grande.
“Pusat Pengurusan Risiko dan Bencana Kebangsaan sudah mengeluarkan 22 amaran semasa tempoh kritikal hujan berkenaan.
“Susulan kesan bencana di Pernambuco dan Paraiba serta ramalan cuaca di rantau itu, tahap operasi sudah ditingkatkan ke amaran maksimum,” katanya.
Tambahnya, walaupun hujan sudah berkurangan dan keadaan semakin pulih, tahap kewaspadaan tetap perlu dikekalkan pada kelmarin.
Sementara itu, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menerusi hantaran di platform X berkata, beliau sudah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi menawarkan sokongan.
“Kerajaan terus memantau keadaan bagi menyalurkan semua bantuan yang diperlukan,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






