KATHMANDU: Nepal digesa memperketatkan syarat pendakian Gunung Everest susulan kematian pendaki meningkat dengan ketara tahun ini.
Pendaki yang lemah, dipimpin pengendali ekspedisi kurang pengalaman menyebabkan masalah, kata seorang pendaki gunung veteran hari ini, selepas salah satu musim pendakian paling buruk dalam tempoh beberapa tahun di gunung tertinggi di dunia itu.
Sekurang-kurangnya 12 pendaki maut, manakala lima hilang dan dikhuatiri maut di gunung setinggi 8,849 meter itu, ketika musim pendakian utama tahun ini yang baru berakhir.
Ini adalah tahun terburuk sejak 2015, di mana gempa bumi menyebabkan runtuhan salji yang mengorbankan 18 nyawa.

“Pendaki yang lemah dengan pengendali kurang berpengalaman adalah sebahagian daripada masalah,” kata Guy Cotter, 69, di ibu negara Nepal, Kathmandu.
Cotter ialah jurupandu terkenal dari New Zealand, yang berpengalaman mendaki Gunung Everest sebanyak lima kali.
“Pendaki perlu mempunyai standard pendakian minimum, dengan rekod pendakian yang terbukti sebelum datang ke Everest,” katanya.
Tiga pendaki sherpa terbunuh apabila ais menimpa mereka di bahagian bawah gunung pada April lalu dan selebihnya meninggal dunia akibat sakit atau keletihan, kata pegawai kerajaan dan pendakian.
Nepal sememangnya mengawal pendakian di Everest dan puncak Himalaya yang lain, dengan mewajibkan setiap pendaki mendapatkan permit.
Namun, kata Cotter, pengendali yang membimbing pendaki gunung itu juga harus memenuhi standard minimum bagi peralatan dan staf.
“Terdapat banyak pengendali yang membawa pelanggan mereka ke Everest tetapi tidak memahami cara untuk mengelak tragedi berlaku dan apabila ia berlaku, mereka tidak mempunyai prosedur untuk menangani masalah itu,” kata Cotter.
Seorang pegawai Jabatan Pelancongan yang menyelia pendakian, Bigyan Koirala, berkata kerajaan sedang mempertimbang lebih banyak peraturan, namun tidak memberikan butiran.
Nepal mengeluarkan 478 permit untuk pendakian Everest tahun ini dan ratusan orang berjaya sampai ke puncak.
Sumber BH Online & REUTERS
Imedikel TV






