Home Buletin Semasa KESEDARAN AWAL PENTING, KANSER SARKOMA BOLEH DIRAWAT LEBIH BERKESAN

KESEDARAN AWAL PENTING, KANSER SARKOMA BOLEH DIRAWAT LEBIH BERKESAN

18
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kanser sarkoma merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku namun memberi kesan serius kepada pesakit.

Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan kerjasama Jabatan Ortopedik hospital itu giat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, sarkoma ialah kanser yang bermula dalam tisu penghubung atau sokongan seperti tulang, otot, lemak, saraf, saluran darah, tendon serta lapisan sendi, dan boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh.

Menurutnya, antara tanda awal penyakit itu termasuk hilang selera makan, bengkak serta kesakitan pada bahagian tertentu badan.

“Masyarakat perlu lebih peka dan mendapatkan pemeriksaan awal supaya diagnosis dapat dilakukan dengan cepat, sekali gus membolehkan rawatan lebih berkesan serta meningkatkan kualiti hidup pesakit, khususnya di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan East Coast Sarcoma Symposium 2026 di HRPZ II, hari ini.

Turut hadir, Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris.

Tambah beliau, ramai pesakit menunjukkan peningkatan ketara dari segi tahap kesihatan termasuk kadar kelangsungan hidup dan prognosis selepas menerima rawatan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 133 kes telah menjalani pembedahan, termasuk seorang pesakit kanak-kanak berusia tiga tahun yang merupakan antara pesakit termuda di negara ini bagi prosedur tersebut.

“Bagi tahun ini pula, lima kes direkodkan bermula Januari hingga April,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan sarkoma HRPZ II berjaya melaksanakan pembedahan kanser tulang (osteosarkoma) pertama di negara ini menggunakan teknologi liquid nitrogen.

“Jika dahulu pesakit terpaksa menggunakan kerusi roda, kini mereka sudah mampu berjalan dan kembali ke sekolah. Itu adalah sasaran utama rawatan kita,” katanya.

Menurutnya, kos rawatan adalah antara RM30,000 hingga RM50,000, namun ditanggung melalui Tabung Bantuan Perubatan (TBP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here