KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon Fasha Sandha, 42, memaklumkan pernah menerima tujuh tawaran serentak yang melamarnya untuk berlakon dalam drama baharu selepas membintangi Doa Yang Terlindung di TV3 pada Januari lalu.
Fasha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan berkata, ia disifatkannya sebagai rezeki amat memberangsangkan pernah diperoleh dan terpaling banyak yang diterima sekali gus berasa amat bersyukur kepada Yang Esa.
“Selepas berlakon Doa Yang Terlindung, memang rezekilah sebab amat memberangsangkan dan sangat-sangat bersyukur kepada Allah kerana rezeki yang masuk itu sangat terpalinglah banyak.
“Memang ia (drama Doa Yang Terlindung) membuka ruang rezeki saya yang amat sangat untuk masa ini. Selepas kejayaan Doa Yang Terlindung itu, ada tujuh tawaran (berlakon) yang diterima dan datang serentak.
“Tetapi memandangkan ia datang serentak, jadi kena pilih yang terbaik dan saya menganggap drama Puteri Kembang Malam adalah salah satu tawaran terbaik saya dapat selepas tengok siapa pengarah dan apa jalan ceritanya.
“Maka, saya terima dan buat. Ini (Puteri Kembang Malam) yang menang, dan ada (tawaran berlakon) lain itu kena tunggu hingga jadual kerja saya untuk drama ini habis. Saya tidak akan buat dua kerja (shooting) serentak.
“Kalau boleh tunggu (tawaran itu), Insya-Allah saya akan buat. Kenapa saya pilih tawaran drama Puteri Kembang Malam adalah sudah tentu pengarahnya, Osman Ali dan skrip ditulis, Marr Mohamad,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Fasha ditemui media pada sesi fotografi drama Puteri Kembang Malam lakonannya yang akan ditayang TV3 dan Tonton Original Series di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar, baru-baru ini.
Ujar ibu tiga cahaya mata ini lagi, dia membawa watak individu misteri yang memiliki dua karekter diri dan amat mencabar termasuk mungkin membuatkan penonton juga bakal bermain emosi.
“Terus-terang, saya memang teruja apabila mendapat tahu drama Puteri Kembang Malam diarahkan oleh Osman. Pada saya, dia (Osman) juga salah seorang pengarah terbaik di Malaysia.
“Ditambah lagi, projek drama ini adalah yang keempat saya bekerja dengan Osman. Antaranya, seingat saya filem Anak Halal pada 2007 dan drama Sihir Pemisah yang meletop juga menggandingkan saya dan Beto Kusyairy,” katanya.
Menurut Fasha, pengalaman bekerja dengan Osman juga sangat mencabar kerana dia tidak akan melepaskan sesuatu babak itu sekiranya berasa lakonan dipersembahkan tidak okay mengikut kehendak watak.
Sehubungan itu, drama Puteri Kembang Malam difahamkan ada 10 episod serta dua watak dalam lakonan Fasha untuk naskhah itu memang digambarkan khusus oleh Marr Mohamad buat dirinya kerana tuntutan karekter yang cukup berat. – HMetro Online –
IMedikel TV






