Home Hiburan SARIMAH TAK PERNAH RASA DIRI CANTIK

SARIMAH TAK PERNAH RASA DIRI CANTIK

25
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian Che Puan Sarimah Ibrahim tidak pernah melihat dirinya sebagai wanita cantik.

Bagi Sarimah, kecantikan sangat subjektif dan tidak pernah menjadi ukuran utama untuk membina nama dalam dunia lakonan.

“Saya tidak pernah rasa diri cantik. Seperti hari ini, saya rasa macam ada kekurangan. Jadi, kita semua rasa sebegitu. Disebabkan itu, apabila dapat watak Seroja dalam filem Pewaris Susuk, saya suka.

“Semuanya kerana saya ada ciri yang sama dengan Seroja. Dia sentiasa rasa dirinya ada kekurangan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharunya, Pewaris Susuk di GSC Cinemas, Lalaport di sini, malam semalam.

Mengulas sama ada faktor paras rupa membantu dalam meraih tawaran lakonan, Sarimah tidak menafikan kemungkinan itu wujud. Namun, dia percaya penerimaan penonton terhadap bakat dan pengalaman lebih penting dalam jangka masa panjang.

“Mungkin ada, tetapi, insya-Allah, dengan filem ini dan penerimaan orang, terbuka sedikit apabila melihat muka saya.

“Saya harap orang ramai memahami bahawa sebagai pelakon wanita yang meningkat usianya, tidak semestinya karier kita akan pudar dan tidak semestinya kita hilang.

“Tidak semestinya kita kena ambil watak penyondol sahaja atau seumpamanya. Kita ada banyak lapisan. Sebenarnya, makin kita berusia, makin banyak pengalaman hidup yang kita boleh bawa ke layar.

“Pengalaman itu tak boleh dibeli dan tak boleh kalah dengan kecantikan. Apa yang kita lalui dalam hidup itu yang memberi kekuatan pada lakonan,” katanya.

Sarimah mengakui lebih selesa membawa watak yang tidak terlalu menitikberatkan aspek kecantikan semata-mata, sebaliknya memberi ruang untuk menampilkan sisi lakonan yang lebih jujur dan mendalam.

“Kalau dahulu mungkin kena nampak cantik sahaja. Tetapi, bagi saya, itu bukan keutamaan. Apa yang penting adalah bagaimana kita menghidupkan watak,” katanya.

Berkongsi mengenai watak Seroja dalam filem Pewaris Susuk, Sarimah berkata, kekuatan sebenar pelakon bergantung kepada keupayaan menyampaikan emosi dan jalan cerita dengan baik.

Justeru, Sarimah mengakui tidak kisah beraksi berkaki ayam atau melakukan adegan aksi lasaknya sendiri.

“Perkara itu membantu kerja kita sebagai pelakon. Jadi, kalau berpura-pura, ia mungkin tak menjadi. Jadi kita kena buat. Bagi saya, nak cantik sahaja tidak boleh. Memang sepatutnya dia perlu nampak cantik, tapi tidak semua adegan.

“Jadi, dengan adanya kesan khas, saya seronok dapat lakukan semua adegan. Kalau patah kaki atau sebagainya, saya ketepikan perkara itu. Bagi saya, apa yang penting watak ini dapat dirasai,” katanya.

Dalam filem Pewaris Susuk, Seroja adalah isteri kepada watak utama, Hadiff yang dibawakan Datuk Rosyam Nor.

Pewaris Susuk, filem ‘horror thriller’ arahan Faizal Nadxaman dan skrip dihasilkan Naza Manas mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara, esok.

Diterbitkan Primeworks Studios (PWS) dan Anomali Media, filem Pewaris Susuk turut dibintangi Alya Iman, Trisha Ooi, Sherie Merlis dan Dayang Fajra. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here