Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PAHANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan selaras senapang angin serta dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah milik pasangan suami isteri di Ladang Sawit Felda Purun, semalam.
Menurut kenyataan PGA, serbuan menerusi Op Taring Laras itu dijalankan kira-kira jam 7.50 malam hasil risikan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di dalam dan sekitar rumah, polis merampas selaras senapang angin dan 1.9 gram dadah disyaki syabu dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM1,080.
“Bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada kenalan tempatan, manakala senapang angin itu disyaki digunakan untuk memburu haiwan liar,” menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, pasangan suami isteri warga Lombok, Indonesia berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dipercayai menetap di Felda sejak 2024 selepas memasuki negara ini secara tidak sah melalui perairan Johor.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah.
Lelaki terbabit dipercayai bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






