Home Sukan FIFA PERKENAL KAD MERAH ISU PERKAUMAN

FIFA PERKENAL KAD MERAH ISU PERKAUMAN

8
0

VANCOUVER, KANADA: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian pemain yang menutup mulut ketika bertelingkah dengan lawan boleh dilayangkan kad merah pada Piala Dunia tahun ini menerusi peraturan baharu diperkenalkan FIFA dalam usaha membanteras isu perkauman.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di Vancouver, badan induk bola sepak dunia itu mengesahkan peraturan berkenaan antara dua pindaan undang-undang yang akan dikuatkuasakan pada kejohanan berkenaan.

“Atas budi bicara penganjur pertandingan, mana-mana pemain yang menutup mulut dalam situasi konfrontasi dengan lawan boleh dikenakan kad merah,” menurut FIFA.

Peraturan baharu itu hadir susulan kontroversi membabitkan pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni yang dituduh menghamburkan kata-kata berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior pada aksi Liga Juara-Juara, Februari lalu.

Prestianni didakwa memanggil Vinicius sebagai “monyet” berulang kali sambil menutup mulutnya.

Pemain itu menafikan dakwaan berkenaan namun tetap digantung enam perlawanan dengan tiga daripadanya ditangguhkan kerana “kelakuan homofobik.”

Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menyokong perubahan undang-undang itu dalam temu bual bersama Sky News bulan lalu.

“Jika pemain menutup mulut dan berkata sesuatu yang mempunyai unsur perkauman, dia perlu dibuang padang.

“Perlu ada anggapan dia mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya disebut, jika tidak mengapa dia perlu menutup mulut?

“Kalau tiada apa yang mahu disembunyikan, anda tidak perlu menutup mulut ketika bercakap,” katanya.

Dalam satu lagi pindaan diumumkan FIFA, pemain yang keluar meninggalkan padang sebagai bantahan terhadap keputusan pengadil juga boleh dikenakan kad merah.

“Atas budi bicara penganjur pertandingan, pengadil boleh melayangkan kad merah kepada mana-mana pemain yang meninggalkan padang sebagai protes terhadap keputusan pengadil.

“Peraturan ini turut terpakai kepada pegawai pasukan yang menghasut pemain meninggalkan padang,” menurut FIFA.

FIFA turut mengesahkan mana-mana pasukan yang menyebabkan perlawanan dibatalkan akan dianggap kalah.

Langkah itu susulan insiden final Piala Negara-Negara Afrika tahun ini apabila pemain Senegal bersama jurulatih, Pape Thiaw dan pegawainya bertindak meninggalkan padang di Rabat selepas Maghribi diberikan penalti pada masa kecederaan.

Walaupun Senegal akhirnya menang 1-0 pada masa tambahan, mereka kemudian dilucutkan kejuaraan oleh Konfederasi Bolasepak Afrika bulan lalu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here