Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Di sebalik suasana kebakaran hutan yang melanda kawasan sekitar Bachok, sebuah gerai kuih kecil milik Mohd Yusri Hanafi, 42, menjadi lokasi tumpuan dan persinggahan anggota bomba pada waktu pagi di Kampung Seneng, di sini.
Seawal jam 7 pagi, gerai miliknya sudah dikunjungi pelanggan termasuk petugas yang datang memantau kebakaran, sekaligus menjadikan suasana di gerainya lebih meriah berbanding hari biasa.

Mohd Yusri berkata, kehadiran anggota bomba dan penduduk kampung yang keluar meninjau keadaan kebakaran secara tidak langsung meningkatkan jualan kuihnya.
“Setiap pagi memang ramai singgah, termasuk anggota bomba. Mereka datang untuk pantau kawasan, dalam masa sama singgah beli kuih juga,” katanya ketika ditemui, di Kampung Seneng, di sini hari ini.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, kuih jualannya sering habis lebih awal berbanding kebiasaan.
“Alhamdulillah, rezeki bertambah walaupun keadaan sekeliling agak mencabar,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia sudah berniaga sejak lapan tahun lalu dan menawarkan lebih 10 jenis kuih termasuk karipap, samosa dan donut.

Katanya, pendapatan harian jualan kuih yang dibuat bersama isterinya itu kini mencecah kira-kira RM400 sehari hasil sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Tambahnya, walaupun cuaca panas sehingga menyebabkan kebakaran hutan, ia tidak menjejaskan perniagaannya.
IMedikel TV






