Home Hiburan USAH PANDANG RINGAN INSTITUSI PERKAHWINAN – ADI PUTRA

USAH PANDANG RINGAN INSTITUSI PERKAHWINAN – ADI PUTRA

44
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian mengibaratkan rumah tangga sebagai sebuah masjid yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab, pelakon berkaliber, Datuk Adi Putra, menegaskan institusi perkahwinan tidak wajar dipandang ringan.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, berkata, walaupun tanggungjawab membina dan mempertahankan rumah tangga kelihatan mudah, hakikatnya ia menuntut komitmen tinggi serta kesungguhan daripada kedua-dua pihak.

“Bagi saya, ia nampak mudah, tetapi bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Jika kita diberi tanggungjawab menjaga sebuah masjid, maka begitulah juga kita perlu memelihara rumah tangga.

“Tidak mungkin kita tergamak meruntuhkannya walaupun ada kekurangan, kerana ia tetap tempat yang dimuliakan. Begitu juga rumah tangga,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama Luka Di Hujung Setia di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.

Mengulas cara menangani konflik, Adi menegaskan komunikasi adalah kunci utama dalam menyelesaikan sebarang permasalahan rumah tangga.

Menurutnya, istilah ‘healing’ yang sering menjadi sebutan masa kini bukan pendekatan utama yang dipegang.

“Apa yang lebih afdal adalah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Masalah sentiasa wujud dalam kehidupan dan kita perlu menanganinya dengan matang.

“Dalam rumah tangga, sebaiknya duduk berbincang apabila timbul isu, sama ada berpunca daripada suami atau isteri,” katanya.

Menyentuh mengenai perkongsian di media sosial, Adi berkata beliau tidak menyekat isterinya untuk bersuara, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan individu dalam menggunakan platform berkenaan.

Katanya, media sosial perlu dimanfaatkan dengan tujuan jelas, bukan sekadar mengikut arus atau meraih perhatian.

“Kita kena tahu apa tujuan kita di media sosial, sama ada untuk berkongsi ilmu, menyampaikan maklumat atau mempromosikan sesuatu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adi berpendapat sekiranya perlu mendapatkan pandangan, individu sewajarnya merujuk kepada pihak yang lebih arif dan dipercayai.

“Kadangkala kita perlukan pandangan sahabat, tetapi akhirnya kita sendiri perlu bijak menilai siapa yang wajar dirujuk.

“Yang penting, setiap usaha itu bertujuan untuk menyatukan, bukan memisahkan,” katanya.

Menyentuh soal kerjaya, Adi mengakui dirinya kekal selektif dalam memilih watak sejak awal pembabitan dalam dunia seni.

Katanya, setiap naskhah perlu memberi impak, bukan sahaja kepada karya, tetapi juga kepada watak yang dibawakan.

“Kalau kita tidak selektif, kita tidak akan tahu apa yang kita mahukan. Setiap pelakon ada pendirian tersendiri.

“Setiap naskhah adalah untuk menyampaikan mesej, bukan sekadar menonjolkan pelakon semata-mata,” katanya.

Mengulas gandingannya bersama pelakon Zara Zya, Adi bersyukur kerana isterinya memahami tuntutan kerjaya sebagai anak seni.

Katanya, hubungan profesional dengan rakan pelakon bukan isu kerana masing-masing memahami batas dan etika kerja.

“Kami sudah lama berkahwin dan isteri sangat memahami cara kerja saya. Malah, dia juga mengenali Zara, jadi tiada masalah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here