Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang pelajar lelaki cedera ringan di bahagian kepala selepas terjatuh ke dalam perigi di sekolahnya, pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika pelajar berusia 17 tahun itu duduk di atas penutup perigi simen di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Wakaf Bharu.
Pegawai Bomba Kanan I, Azmi Sulaiman berkata, penutup perigi berkenaan pecah secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira 5.49 meter.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang duduk di atas penutup perigi sementara menunggu untuk masuk ke dewan peperiksaan.
“Ketika bomba tiba, mangsa masih berada di dalam perigi dengan paras air sekitar pinggang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat seperti tali dan tangga.
Operasi dikawal pada jam 9.34 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
IMedikel TV






