KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro penyanyi, Sarah Suhairi mengakui menggalas tanggungjawab sebagai ibu tiri kepada anak-anak tirinya yang sudah menginjak usia remaja merupakan satu cabaran yang besar buat dirinya.
Sarah, 26, berkata, dia kini sedang menyesuaikan diri menjaga anak kedua suaminya yang kini berusia 13 tahun.
“Sejujurnya ia memang mencabar sebab saya berada di fasa bukan menjaga mereka daripada bayi, tetapi mereka yang sudah besar.
“Memandangkan mereka kini di fasa remaja, masing-masing sudah ada pemikiran sendiri. Jadi, saya lebih selesa mengambil pendekatan untuk menjadi kawan kepada mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Sarah, dia menyerahkan tanggungjawab menegur atau mendidik secara tegas kepada suaminya, sementara dia bertindak sebagai pendengar setia.
“Biar mereka lebih senang bercerita daripada diam sahaja. Kita mahu tahu apa yang berlaku di sekolah atau apa yang dibualkan dengan kawan-kawan.
“Zaman sekarang lebih susah kerana ada gajet dan internet, tidak macam zaman kita dulu. Budak-budak sekarang cepat bosan, jadi saya kena cari aktiviti luar seperti bersukan atau membawa mereka ke Legoland supaya mereka penat dan tidak hanya bermain telefon,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita mengenai penerimaan anak-anak tirinya, pelantun lagu Nyawa & Raga ini berkata, dia sangat menghormati ruang dan perasaan mereka.
“Saya faham situasi ini bukan mudah untuk mereka kerana mereka masih ada ibu kandung. Saya hormat ‘boundary’ itu.
“Saya tidak paksa, kalau mereka selesa untuk berkongsi (apa-apa luahan) saya terima. Saya beri mereka masa untuk menyesuaikan diri,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perwatakannya di rumah sebagai seorang ibu, Sarah menyifatkan dirinya seorang yang santai namun tetap mempunyai prinsip dalam menghormati antara satu sama lain.
“Saya memang santai tetapi tetap ada batasnya. Kita kena saling menghormati. Kalau ada perkara yang saya rasa perlu ditegur demi kebaikan, saya akan tegur.
“Tetapi untuk membebel atau marah-marah itu jarang sekali, itu bukan cara saya. Biar bapa mereka yang lakukan tugas itu,” katanya.
Untuk rekod, Sarah mendirikan rumah tangga bersama Aswad Anuar pada Julai 2024. – HMetro Online –
IMedikel TV






